Jika suka makan lauk-lauk sambal, sangat memudahkan jika kita hasilkan siap-siap stok ibu sambal ini. Bila dah ada ibu sambal ini, kerja memasak memang lebih senang. Goreng ayam, ikan, udang atau lain-lain kemudian gaul dengan ibu sambal yang sudah dipanaskan. Letak perasa yang disukai. Siap lauk sambal.
Hujung minggu ini memang masa yang sesuai untuk kita membuat stok ibu sambal ini. Caranya dikongsi oleh Maestro Wan Ateh.
Cara buat ibu sambal, senang nak masak macam macam lauk sambal
Bahan-bahan
150gm cili kering direbus dan dipotong
3 labu bawang besar
3 ulas bawang Merah
2 labu bawang Putih
2 keping asam keping
Minyak masak secukupnya (jangan kedekut)
Garam (sedikit sahaja)
Gula dan serbuk perasa
Cara memasak
1. Kisar semua jenis banyak dengan minyak. Sukatan minyak 3/4 daripada bawang dalam balang blender
2. Blend cili kering yang sudah dipotong dan rebus. Sukatan minyak 3/4 cili dalam balang blender (sekiranya kuantiti sedikit boleh kisar sekali bawang dan cili).
3. Masukkan bawang kisar ke dalam periuk. Kacau seketika.
4. Bila sudah menggelegak masukkan cili kering pula. Kacau selalu supaya tak hangit. Bila guna minyak sepenuhnya potensi untuk hangit sangat tinggi tapi bagusnya sambal ini tidak merecik dan cepat masak.
5. Masukkan garam, gula dan asam keping serta serbuk perasa. Kacau lagi sampai sejam atau dua jam terpulanglah kepada kekuatan tenaga masing-masing.
6. Kemudian sejukkan sambal sebelum dimasukkan dalam bekas. Untuk stok boleh simpan dalam ruang sejuk beku, bagi yang selalu digunakan boleh simpan dalam chiller (boleh tahan sebulan).
7. Bila mahu membuat masak sambal kaup sedikit dan masukkan minyak jika perlu. Boleh tambah belacan, sos, serta serai mengikut resipi masing-masing.
Pastikan tidak masukkan garam banyak kerana belacan dan sos tiram itu sendiri sudah masin. Jangan lupa tambah hirisan bawang Holland jika buat masakan sambal.
Kredit resipi & foto: Maestro Wan Ateh
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.