MENURUT Kamus Dewan Edisi Keempat, halal bermaksud hukum membenarkan sesuatu perbuatan dalam Islam, diperbolehkan atau tidak ditegah oleh syarak, diizinkan atau dibenarkan.
Ia bermaksud sesuatu yang dibenarkan atau diizinkan menurut hukum Islam dalam semua aspek kehidupan termasuk makanan, minuman, pakaian, perhiasan, perbuatan, percakapan, perkahwinan, perniagaan, muamalat, kontrak dan perkara-perkara lain.
Oleh itu, apa sahaja usaha untuk mendapatkan perkara yang halal adalah kewajipan yang tidak boleh diabaikan oleh setiap Muslim dalam kehidupan harian mereka.
Dengan memastikan setiap aspek kehidupan itu semuanya halal, umat Islam akan meraih keberkatan ALLAH SWT.
Selain itu, menghindari perkara yang haram merupakan langkah yang penting untuk menjaga diri daripada dosa dan kemudaratan rohani.
Begitulah mukadimah disampaikan khatib dalam khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) bertajuk Mencari keberkatan dengan makanan yang halal, baru-baru ini.
Menurut JHEAINS, dalam ajaran Islam, mendapatkan makanan yang halal sahaja tidak mencukupi, malah ia mestilah makanan yang bersifat toyyib iaitu bersih dan berkualiti.
“Sebagai contoh, memakan ayam adalah halal jika cara pemprosesannya dilakukan dengan teliti terutamanya dari segi penyembelihan, kebersihan dan penyediaannya.
“Setiap aspek ini wajib mematuhi syariat sebelum ayam tersebut layak dimakan.
“Konsep toyyib juga meliputi kebersihan premis makanan dan perlu memastikan tiada kehadiran haiwan perosak atau najis yang boleh menjejaskan kesucian makanan tersebut,” hurainya.
Sijil halal tingkat keyakinan pengguna
Tambah khatib, zaman teknologi kini memudahkan kita semua mengakses maklumat dan sepatutnya umat Islam lebih celik dalam memilih makanan yang halal dan bersih.
“Rakyat Malaysia yang terkenal dengan kecenderungan mencuba makanan yang baharu terutamanya dari luar negara, kini terdorong untuk memilih makanan yang disahkan halal.
“Tindakan menggalakkan syarikat memohon sijil halal memberikan keyakinan kepada semua pengguna ketika berbelanja.
“Sejak 1974, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengambil inisiatif dengan mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) untuk produk makanan dan minuman yang memenuhi syarat-syarat syarak.
“Usaha ini semakin berkembang sehingga beberapa anugerah telah diperolehi di peringkat antarabangsa termasuk pengiktirafan oleh Petunjuk Ekonomi Islam Global (GIEI 2023) yang meletakkan Malaysia kekal di tempat pertama setelah 10 tahun berada dalam sektor makanan halal di peringkat global,” jelas khatib.
Namun katanya, industri halal Malaysia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa itu bukan hanya kerana produk halal itu bebas daripada kandungan babi atau alkohol, tetapi juga disebabkan oleh faktor-faktor lain yang menyokong kualiti dan integriti produk berkenaan.
Khatib kemudian mengajak para jemaah untuk menghayati makna ayat ke-114 surah an-Nahl:
“Maka makanlah yang halal lagi baik daripada rezeki yang telah ALLAH berikan kepada kamu dan syukurilah nikmat ALLAH, jika kamu hanya menyembah kepada-NYA.”
Khatib menyambung, Imam At-Tabari menjelaskan, ayat tersebut merupakan perintah ALLAH kepada manusia untuk makan rezeki yang halal lagi baik seperti haiwan ternakan yang disembelih mengikut syariat.
“ALLAH juga mengingatkan kita agar mensyukuri nikmat-NYA termasuk rezeki yang halal dan kepatuhan kepada perintah ALLAH ini merupakan sebenar-benar tanda pengabdian kepada-NYA,” katanya.
Usaha mudahkan pohon sijil halal
Dalam hal ini katanya, JHEAINS telah mengorak langkah untuk mempermudahkan urusan permohonan sijil halal, antaranya memendekkan tempoh kelulusan permohonan kepada kurang daripada 30 hari.
Dari segi fi atau bayaran permohonannya, ia tidak membebankan industri kerana ia dinilai berdasarkan saiz industri berkenaan.
“Selain itu, kerajaan negeri menerusi JHEAINS juga telah memperkenalkan program Kotej Halal bagi mewujudkan rangkaian halal yang lebih meluas di kawasan luar bandar bermula 2022.
“Jumlah yang menyertai skim ini sehingga kini direkodkan seramai 263 peserta dan 206 daripada mereka berjaya mendapatkan sijil halal,” jelasnya.
Sehingga 2024 juga katanya, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM1.5 juta bagi membantu usahawan kecil melepasi piawaian pensijilan halal dengan geran bantuan sehingga RM5,000.
“Geran bantuan ini bertujuan menaik taraf premis dan alatan supaya memenuhi piawaian halal yang ditetapkan.
“Ia sudah pasti membantu peniaga-peniaga kecil mendapatkan sijil halal dan meluaskan lagi pasaran perniagaan mereka,” katanya.
Ujarnya lagi, mana-mana produk atau perkhidmatan yang mendapat sijil halal Malaysia, ia membawa maksud telah mendapat perakuan atau akreditasi oleh pihak berkuasa agama.
“Oleh yang demikian, terpulang kepada masyarakat untuk memilih produk atau premis makanan yang diinginkan, tepuk dada tanyalah iman.
“Akhirnya, marilah kita bertanggungjawab terhadap rezeki yang dikurniakan ALLAH. Sesungguhnya DIA lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita.
“Alangkah ruginya umat Islam jika meninggalkan suruhan agama yang memerintahkan supaya mengambil makanan yang halal serta menjauhi yang haram,” jelas khatib.
***Khutbah Jumaat ini disediakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan dan disiarkan melalui laman web rasmi jabatan berkenaan.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.