Industri halal model berteraskan nilai etika, kemampanan dan tanggungjawab

DR ZULKIFLI (dua dari kiri) selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Ekonomi Islam dan Halal (ICIHES) kali kedua di Johor Bahru baru-baru ini.

“INDUSTRI halal bukan sahaja mewakili pemacu ekonomi yang penting, tetapi juga merupakan paradigma yang berteraskan nilai etika, kemampanan dan tanggungjawab.”

Demikian ucapan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Ekonomi Islam dan Halal (ICIHES) kali kedua di Johor Bahru baru-baru ini.

DR ZULKIFLI

Nilai industri halal global telah melepasi AS$1 trilion dan ia bukan sahaja memenuhi keperluan 1.9 bilion umat Islam, malah menarik pengguna bukan Islam yang mengiktiraf produk halal sebagai simbol kebersihan, kualiti dan keselamatan.

Perbelanjaan global pada 2023 oleh pengguna Muslim terus berkembang dengan kukuh merentasi sektor halal utama berikutan perbelanjaan luar biasa sebanyak AS$2.29 trilion pada tahun sebelumnya bagi produk dan perkhidmatan seperti makanan, farmaseutikal, kosmetik, fesyen, media serta pengangkutan.

Ia didorong pengguna sejajar dengan pelaburan berterusan dalam syarikat berkaitan halal.

Menurut Dr Zulkifli, laluan untuk terus maju ke hadapan amat penting termasuklah usaha meningkatkan kualiti produk, menyelaraskan piawaian halal global dan mengutamakan penyelidikan serta pembangunan.

ICIHES 2024 berperanan sebagai platform penting untuk perbincangan dan pertukaran idea untuk memperkasakan lagi ekonomi halal.

“Ketika kita melihat ke masa hadapan, matlamat kita adalah jelas iaitu untuk membina ekonomi halal yang berdaya tahan, inovatif dan berdaya saing di peringkat global.

“Kita membayangkan Malaysia bukan sahaja hab halal global tetapi sebagai negara yang memperjuangkan etika Islam, kemampanan dan keterangkuman ekonomi dalam sektor ini,” katanya.

Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Jefridin Atan dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid.

ICIHES 2024 berperanan sebagai platform penting untuk perbincangan dan pertukaran idea untuk memperkasakan lagi ekonomi halal.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply