SATU kejayaan besar buat Genki Sushi Malaysia apabila kelima-lima restoran mereka memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) baru-baru ini.
Kejayaan tersebut menunjukkan komitmen mereka dalam memenuhi nilai-nilai penting buat pelanggan serta usaha berterusan dalam memperkukuh hubungan dengan pencinta makanan Jepun itu sejak memasuki pasaran pada 2018.
Ketua Eksekutif Perniagaan, Pembangunan dan Sokongan Genki Sushi Asia Tenggara, Jun Uchida berkata, ia merupakan langkah strategik dalam memperluas jenama Genki Sushi di pasaran Malaysia yang berpotensi besar dalam industri makanan.
“Pasaran Malaysia ini amat penting. Kami mengharapkan lebih banyak cawangan dibuka di negara ini.
“Kami berbangga dengan komitmen dalam usaha meningkatkan lagi kualiti dan inovasi. Kami juga yakin jenama Genki Sushi akan terus berkembang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Genki Sushi Malaysia, Law Hwee Ching turut menyatakan rasa bangga selepas berjaya memperoleh sijil halal setelah melalui proses yang ketat.
“Pencapaian ini menjadi penanda aras dalam mengekalkan standard kualiti tertinggi kami untuk setiap menu selaras dengan kriteria keselamatan dan kebersihan yang ditetapkan Jakim,” katanya.
Dalam meraikan pencapaian yang bersejarah itu, Genki Sushi memperkenalkan pelbagai menu baharu kepada para peminat sushi antaranya Sashimi Moriawase, Spicy Salmon Maki, Unatama Tempura Maki dan Trio Salmon Sushi.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.