Potensi besar Halal Edutourism

PARA peserta Halal Edutourism dibawa ke lokasi pertama iaitu MyHAC di Bandar Enstek, Negeri Sembilan.

SELEPAS dua hari bersidang, sebahagian peserta Persidangan Kebangsaan Eksekutif Halal 2024 (PEH24) dibawa melawat ke tiga lokasi berbeza menerusi program Halal Edutourism anjuran Kolej UNITI dan UNITI Halal Centre (UHAC).

Pengarah UHAC, Ustaz Muhamad Elyas Harun menjelaskan, Halal Edutourism yang merupakan pakej tambahan bagi PEH24 bertujuan memperkenalkan para peserta kepada pelbagai aspek dalam industri halal melalui lawatan dan pengalaman langsung.

“Lawatan pertama seramai 42 peserta ini dibawa ke Makmal Analisis Malaysia (MyHAC) untuk mengenali lebih dekat operasi dan peranannya yang menggunakan teknologi serta analisis saintifik terkini bagi memastikan pematuhan kepada standard halal.

“Mereka kemudiannya dibawa ke kilang roti terkenal pilihan rakyat Malaysia, Gardenia Bakeries KL Sdn Bhd (Gardenia) untuk melihat sendiri proses pengeluaran produk halal yang mematuhi standard selain komitmen syarikat itu terhadap pematuhan halal serta kualiti produk,” jelas beliau.

USTAZ MUHAMAD ELYAS (kanan) melakukan latihan praktikal sertu bersama para peserta Halal Edutourism di kilang DCH di Shah Alam, Selangor.

Tambahnya, peserta turut menimba pengalaman praktikal dalam melaksanakan prosedur sertu di gudang pengilangan kontrak (OEM), DCH Contract Manufacturing Sdn Bhd (DCH).

“Di sana mereka diterangkan mengenai teori mengenai proses penyucian yang penting dalam industri halal selain turut melakukan amalinya.

“Melalui lawatan dan pengalaman ini, peserta memperoleh pengetahuan yang mendalam dan pemahaman yang baik mengenai operasi, analisis dan kepentingan pematuhan halal dalam industri,” ujar Ustaz Muhamad Elyas.

Jelasnya lagi, Halal Edutorism yang menggandingkan aspek pendidikan, latihan dan sosialisasi halal ini merupakan strategi pengembangan penawaran tidak hanya di peringkat nasional, malah ia menjangkau ke pasaran serantau dan global selaras dengan pelan induk Kolej UNITI 2030.

Lokasi pertama: MyHAC

Bandar Enstek, Negeri Sembilan

Peserta dibawa melawat satu-satunya makmal halal di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang berfungsi sebagai hentian setempat kepada industri penyelidikan dan pensijilan halal global.

Makmal yang didirikan di atas tanah seluas 18.4 hektar juga menjadi platform penyelidikan halal yang menggabungkan sains teknologi dan keperluan syariah dalam memartabatkan industri halal negara.

Peserta disambut oleh Ketua Makmal MyHAC, Ustaz Mohd Amri Abdullah dan beliau menerangkan tentang peranan makmal berkenaan selain pengetahuan berkaitan industri halal termasuk sistem pengurusan makmal halal, pensijilan halal serta pematuhan standard halal dan pengendalian makmal analisis makanan halal.

Lokasi kedua: Kilang roti Gardenia

Shah Alam, Selangor

Kembara kemudiannya diteruskan dengan lawatan ke kilang roti Gardenia dan para peserta diperkenalkan kepada Internal Halal Commitee (IHC) Gardenia yang telah ditubuhkan sejak 1994.

LOKASI kedua para peserta dibawa melawat kilang Gardenia dan diberi penerangan mengenai IHC serta komitmen mereka dalam mengeluarkan produk halal.

Peserta turut diberi penerangan mengenai IHC sebelum dibawa menerokai operasi pengeluaran roti Gardenia iaitu produk roti putih, wafel dan roti berkrim bermula daripada adunan sehingga siap dibungkus untuk dipasarkan.

Gardenia telah mengeluarkan produk roti halal sejak tahun 80-an lagi dan mereka komited dengan pengeluaran produk yang berkualiti serta halal sehingga dianugerahkan Senarai Putih (Whitelist) oleh Jabatan Agama Islam Selangor.

Lokasi ketiga: Kilang DCH Shah Alam, Selangor

Peserta kemudiannya didedahkan dengan perkhidmatan pengilangan kontrak yang mempunyai sijil halal, food safety dan makmal diiktiraf Pertubuhan Piawaian Antarabangsa (ISO).

SEBAHAGIAN peserta melaksanakan praktikal sertu sebagai sebahagian aktiviti Halal Edutourism.

Uniknya, peserta Halal Edutourism merupakan rombongan luar pertama dibawa masuk ke kilang ini dan melaksanakan bengkel sertu di sana.

Bengkel sertu dikendalikan pakar sertu daripada TMC Development dan diberi penerangan mengenai proses sertu menurut syarak dan pensijilan selain diberi bimbingan melaksanakannya.

Menurut Muhamad Elyas, pihaknya berharap peserta Halal Edutourism dapat mengambil pengetahuan dan manfaat daripada program berkenaan di samping mengaplikasikannya di syarikat masing-masing dalam usaha memperkasakan lagi eksekutif halal dan industri halal negara.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply