Perancangan Teliti Pemilik Realisasikan Kediaman Konsep Terbuka Inspirasi Modern Mediterranean

Kali pertama berkunjung ke kediaman ini, IMPIANA cukup tertarik dengan konsep terbuka dan gaya inspirasi Moden Mediterranean yang dizahirkan. Pemilik kediaman cukup ‘berani’ dalam menampilkan kelainan dan keunikan yang tersendiri pada reka bentuk mahupun dekorasi rumah yang berkeluasan 2,000 kaki persegi ini.

Lebih istimewa, idea dekorasi hanya cetusan citarasa sendiri bersama adik tersayang yang merupakan Pensyarah Seni Bina di UNIMAS. Memang terbaik hasilnya!

Sementelah kawasan rumah yang didirikan berisiko untuk mengalami banjir, perancangan yang teliti dan sebaiknya telah diatur oleh pemilik kediaman demi merealisasikan mahligai impian dapat dizahirkan.

Tambak Tanah 8 Kaki

Menurut pemilik kediaman Yon Tania, rumah ini dibina di atas tanah pusaka yang diberikan oleh ibunya. Namun, rumah ini terletak di kawasan tanah rendah dan berhampiran sungai, jadi ia berisiko untuk mengalami banjir. Sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kemungkinan tersebut, pemilik telah menambak tanah setinggi 8 kaki terlebih dahulu sebelum membina rumah impian.

“Tapak tanah rumah ini merupakan tanah pusaka pemberian mak. Terletak di kawasan rendah, berhampiran sungai dan berisiko untuk banjir. Jadi sebagai persediaan, sebelum PKP kami tambak tanah dulu dengan batu-batuan, setinggi 8 kaki sebelum membina rumah ini,”

“Hanya pada Jun 2023 kami mulakan membina rumah ini secara berperingkat dan ia siap dibina pada Jun 2024, dalam masa setahun,”ujar Yon memulakan bicara.

‘Sunken Living Room’

Melihat pelan lantai rumah ini yang bertangga dan bertingkat, pemilik mempunyai sebab tersendiri dalam memiliki rekaan ‘Sunken Living Room’ di ruang tamu. Begitu juga dengan pemilihan sofa di ruang tamu yang diperbuat daripada kemasan batu.

“Memandangkan rumah ini berisiko untuk banjir, kami membuat perancangan membina ‘sunken living room’ yang mempunyai aras lebih rendah berbanding ruang yang lain. Bahagian tempat duduk di ruangan ini juga diperbuat daripada kemasan batu dan penutup besi supaya ia tahan lasak dan tak mudah rosak jika kena air. Malah kami juga membuat ‘storage’ tambahan di bahagian tempat duduk bagi ruang penyimpanan tambahan,” ujar Yon.

Bukan itu sahaja, sebagai langkah persediaan, pemilik kediaman juga telah mengambil insurans bencana alam. Ia bagi pembayaran balik ganti rugi sehingga RM500,000 sekiranya banjir atau kebakaran rumah berlaku.

Pencahayaan & Pengudaraan Semulajadi

Istimewanya, ruang kediaman berkonsep terbuka tampak cukup luas dan selesa dengan pencahayaan dan pengudaraan semulajadi melengkapi kediaman ini. Sekaligus menjadikan kediaman ini mesra alam tanpa bergantung kepada penghawa dingin.

“Jika diperhatikan rumah ini berkonsep terbuka, tak banyak sangat dinding. Apabila waktu siang, kami tak perlu buka lampu semuanya daripada cahaya semulajadi. Kami juga tidak memasang pendingin hawa (aircond) kerana banyak ‘folding door’ dan tingkap, jadi udara dari luar banyak masuk ke dalam rumah. Hanya dalam bilik sahaja kami pasang aircond,” jelas Yon.

Entrance Garden, Courtyard & Edible Garden

Gaya hidup pemilik yang menggemari kehijauan alam semulajadi dan aktiviti bercucuk tanam menjadikan ruang kediaman ini cukup segar dengan pelbagai jenis tumbuhan hijau. Ia dapat dilihat pada taman kecil yang terletak di bahagian pintu masuk rumah, landskap indah dengan kolam air di ruang courtyard serta pelbagai jenis tanaman di laman dapur.

“Saya suka bercucuk tanam di rumah. Apabila bangun tidur melihat pokok-pokok hidup subur dan segar, cukup menenangkan hati. Ada macam-macam jenis pokok yang ditanam seperti pelbagai jenis pokok keladi, pokok kaktus, snake plant, Monstera, pokok kemboja, teratai dan sebagainya. Di laman dapur pula tanaman yang digunakan untuk masakan seperti daun kari, daun pandan, daun kunyit, pokok cili, oregano dan mint leaves,” ujar Yon.

Perancangan Masa Hadapan

Berkongsi perancangan masa hadapan pada rumah yang baru 5 bulan didiami ini, pemilik berkongsi impian untuk membina kolam renang serta beberapa rumah ‘homestay’ serta tapak perkhemahan di kawasan berhampiran rumahnya.

“Mengenai perancangan masa hadapan, saya berhasrat untuk membina kolam renang untuk anak-anak. Tanah pusaka ini berkeluasan hampir 8,000 kaki persegi, jadi saya juga merancang untuk mendirikan beberapa rumah ‘homestay’ dan tapak perkhemahan juga kelak,” jelas Yon mengakhiri bicara.

Tahniah buat pemilik kediaman apabila berjaya menzahirkan rumah berkonsep terbuka berinspirasikan gaya modern mediterranean yang cantik ini. Semoga menjadi panduan dan inspirasi buat pencinta dekorasi kediaman yang lain.

INFO KEDIAMAN:
Nama Pemilik: Yon Tania & Mohd Zuhri
Usia Kediaman: 5 Bulan (Jun 2024)
Konsep : Modern Mediterranean
Lokasi: Hulu Langat, Selangor
Keluasan Kediaman: 2,000Kps
Anggaran Kos : RM350k

Jenis Kediaman: Banglo
Spesifikasi Ruang Kediaman:
(Dapur kering, dapur basah, 4 Bilik Tidur, 3 Bilik Air, Family area, entrance garden, courtyard, sunken living room)

Semoga menjadi inspirasi buat pencinta dekorasi rumah yang lain.

Mesti Baca: Rumah Milik WAWA ZAINAL & AERIL ZAFREL Berkonsep Modern English, Siap Ada Mini Surau!
Baca Lagi Di Sini: Cantik Villa Konsep Farmhouse Pinggir Kampung, Target Dijadikan Rumah Pencen
Artikel Menarik: “Teratak NEN’Da” Estetika Rumah Kampung Berkonsep ‘English Cottage’ Milik Pelakon Khaty Fauziah

Follow kami di  WEBSITETELEGRAMINSTAGRAMTIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply