SEBAGAI sebuah negara yang sudah terkedepan dalam industri halal, Malaysia memerlukan satu strategi bagi menjamin ia terus kekal peneraju halal global.
Untuk itu, satu pelan jangka panjang melibatkan pelbagai aspek perlu diteliti dan diperkasakan dengan melihatnya secara menyeluruh dalam pengurusan halal ini.
Antaranya aspek perundangan, pensijilan, pengiktirafan badan pensijilan halal antarabangsa, teknologi dan inovasi, kepenggunaan, pandangan hukum dan fatwa, penyelidikan halal, analisis makmal, manfaat ekonomi dan sebagainya.
Mengulas mengenai pelan tersebut, Koordinator Pusat Penyelidikan Halal Universiti Malaya (UMHRC), Prof Madya Dr Saadan Man menjelaskan, UMHRC pada awalnya menerima berita tersebut dengan perasaan bercambur baur selepas diberi tanggungjawab untuk melaksanakan Dasar Halal Negara 2025-2035.
“Pertamanya kami di UMHRC teruja mendapat berita baik ini daripada Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), namun pada masa sama terdapat perasaan gundah-gulana memandangkan ia satu tanggungjawab yang sangat berat.
“Kami perlu melaksanakan tugas bagi menyediakan satu dasar negara yang akan menentukan hala tuju industri halal Malaysia bagi tempoh 10 tahun akan datang,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam Persidangan Kebangsaan Eksekutif Halal 2024 yang dianjurkan Kolej UNITI dan UNITI Halal Centre di Bangi baru-baru ini.
Bagaimanapun dengan keyakinan dan berkat kerjasama daripada semua pihak dalam industri halal, dasar halal negara ini akan dapat dijayakan ke tahap maksimum, katanya.
Peneraju industri halal dunia
Beliau yang juga pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya itu menjelaskan, buat masa ini masih belum ada negara yang mempunyai dasar berkenaan dengan hala tuju atau masa depan dalam industri halal.
“Malaysia akan menjadi trendsetter (pemula trend) dan negara Islam pertama yang akan mempunyai dasar yang jelas mengenai hala tuju industri halal ini dengan mengambil kira bukan sahaja pandangan dari dalam negara, bahkan dari luar negara.
“Semua pihak yang terlibat dengan industri halal diambil kira sama ada tempatan atau antarabangsa. Oleh sebab itu kami merantau keluar negara untuk mengambil data-data penting dan pandangan bernas daripada mereka,” jelasnya.
Tambahnya, halangan yang dihadapi pihak industri, harapan, komentar dan cadangan penambahbaikan akan diperhalusi dalam menggubal Dasar Halal Negara 2025-2035.
Menurut ahli akademik itu, dalam penggubalan dasar halal ini, pihaknya perlu melihat kepada pembangunan modal insan atau halal talent.
“Buat masa ini saya rasa tiada masalah dalam halal talent ini, namun mungkin ada sedikit kelemahan yang boleh ditambah baik.
“Eksekutif halal ini perlu dilihat sebagai satu institusi dan bukannya individu. Mereka merupakan penggerak atau nadi dalam industri halal dan tanpa mereka, industri halal ini tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya.
“Ini kerana untuk memastikan sesuatu produk mendapat pensijilan halal, prosesnya mesti melalui modal insan. Merekalah orang yang menguruskan, mengawal dan membangunkan dasar halal dalam sesebuah syarikat sehingga berjaya,” hurainya.
Eksekutif halal nadi, jantung industri
Dr Saadan menjelaskan, mereka merupakan satu institusi yang sangat diperlukan dalam industri halal bahkan mereka merupakan nadi atau jantung dalam industri ini.
Oleh itu katanya, eksekutif halal ini perlu dibangunkan dan diperkasakan dalam proses menggubal dasar halal negara ini.
“Halal talent khususnya eksekutif halal ini sangat berperanan dalam memberikan cadangan dan penambahbaikan.
“Selain itu, kita perlu melihat realiti sedia ada serta cabaran-cabaran yang mendatang pada institusi eksekutif halal ini dan mempertimbangkannya dalam menggubal dasar halal negara,” hurainya.
Menurutnya, UMHRC mendapat lebih 100 input dalam pembangunan modal insan melalui townhall dan soal selidik yang dijalankan bermula Jun lalu.
Semua input yang diperolehi akan dirangkum dan dirumuskan sebelum ia dibincangkan dalam mesyuarat pada penghujung tahun ini, ujarnya.
Mantapkan ilmu syariah
Jelasnya lagi, salah satu perkara yang perlu dititikberatkan melalui input yang diterima ialah memperkasakan institusi eksekutif halal dengan ilmu yang mantap.
“Ilmu yang mantap bermaksud pengusaan ilmu syariah sebagai asas. Sekiranya tiada ilmu syariah ini, sudah tentulah halal yang merupakan asas ini tidak akan berjaya dibangunkan dalam sesebuah institusi atau syarikat.
“Apabila kita memiliki ilmu syariah yang mantap, integriti halal itu akan terjamin dan di situlah terletaknya kesucian industri halal,” hurainya.
Ujarnya lagi, Malaysia diiktiraf sebagai negara yang mempunyai kepakaran dalam bidang syariah dan teknikal.
“Oleh sebab itu kita kena pertahankan dan mantapkan lagi,” ungkapnya sebelum menutup bicara.
Pihak yang terlibat dengan industri halal boleh memberikan pandangan atau cadangan melalui www.dhn2035.my.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.