Kerajaan sebelum ini memaklumkan bahawa pelaksanaan lesen keatas perkhidmatan media sosial dan pesanan internet akan dikuatkuasa bermula 1 Januari 2025, susulan kerangka kawal langkah itu yang diwartakan pada 1 Ogos lalu. Sehubungan itu, timbul persoalan mengenai langkah yang diambil kerajaan terhadap mana-mana platform berkaitan yang gagal mendaftar pelesenan masing-masing selepas tarikh kuat kuasa peraturan ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya belum mempunyai perancangan untuk menyekat akses terhadap platform media sosial yang tidak memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) selepas ia dikuatkuasakan kelak. Malahan pengguna masih boleh mengakses dan menggunakan platform berkenaan seperti biasa. Namun beliau berkata, ia mungkin boleh menjadi langkah terakhir yang diambil pihaknya selepas mengambil kira segala kesan positif dan negatif yang kelak timbul daripada keputusan itu, serta berdasarkan Akta Komunikasi dan Multimedia.
Dalam pada itu, Fahmi turut mengingatkan keperluan pelesenan itu bertujuan untuk memastikan penyedia perkhidmatan bertanggungjawab, serta memainkan peranan yang penting dalam mewujudkan platform digital lebih selamat untuk pengguna khususnya kanak-kanak dan keluarga. Pelaksanaan ini juga bertujuan untuk menangani jenayah dalam talian tanpa menyekat inovasi malah dikatakan tidak menjejaskan pengguna.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.