Sentiasa mempamerkan aksi cemerlang, bintang muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi mendapat gelaran sebagai ‘budak ajaib’ oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) apabila berjaya menentang jaguh Korea Selatan, Ulsan HD dalam perlawanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) baru-baru ini.
Pemain bola sepak JDT itu menjaringkan gol pembukaan pada minit kelapan selepas bijak memanfaatkan kesilapan pertahanan lawan dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim.
Jaringan Arif Aiman menyaksikan pemain berusia 22 tahun itu kini berada di kedudukan kedua senarai penjaring terbanyak ACLE dengan empat (4) gol di belakang pemain Gwangju FC, Jasir Asani yang sudah meledak enam gol.
Menerusi ketajamannya juga membolehkan dia mengatasi pemain handalan dunia lain dalam senarai penjaring yang turut beraksi dalam ACLE seperti Riyad Mahrez dengan tiga gol, Cristiano Ronaldo (dua gol) dan Roberto Firmino (dua gol).
“‘Budak ajaib’ JDT dengan penyudah yang indah,” tulis laman Facebook Liga Juara-Juara AFC yang turut berkongsi video gol Arif Aiman ketika menentang Ulsan HD.
Selain itu, Arif Aiman menampilkan aksi konsisten di pentas Asia apabila telah meledak empat gol daripada empat perlawanan ACLE yang diharungi JDT.
Terkini, pasukan Harimau Selatan itu berada pada kedudukan keempat daripada 12 pasukan dalam saingan ACLE Zon Timur dengan tujuh mata hasil dua kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.
Memang hebat sungguh Arif Aiman!
Sumber: Sinar Harian
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.