Keluarga Rayu Kembalikan Telefon Bimbit, Suami Meninggal Kemalangan. 7 Tahun Tunggu Zuriat!

Baru sahaja menimang cahaya mata selepas hampir tujuh tahun menanti, namun siapa menyangka Allah menjemput lebih awal sebelum sempat membesarkan zuriat yang dinanti sekian lama.

Pemergian suami, Mohammad Isma Azwa Mohd Salleh, 33, yang disahkan maut selepas terbabit kemalangan semasa dalam perjalanan ke tempat kerja berhampiran Changi Beach Park, Singapura meninggalkan kesan yang cukup mendalam bagi isterinya, Nur Shahirah Nabihah Mohammad Azan.

Menceritakan kejadian itu, kakak Nabihah, Nur Shahirah Nadiah Mohammad Azan, 37, berkata, Mohammad Isma yang bekerja sebagai juruukur hidrografi berulang-alik dari rumahnya di Danga Bay, Johor ke tempat kerja di Singapura.

“Ketika kejadian, dia menunggang sebuah vespa di jalan lurus sebelum dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mahu membelok.

“Dia kemudian dibawa ke Hospital Changi untuk menerima rawatan. “Namun sebaik tiba di hospital itu, Nabihah dimaklumkan suaminya meninggal dunia akibat pendarahan dalaman kira-kira jam 11 pagi, semalam.

“Selepas pelbagai dugaan dilalui mereka selama tujuh tahun untuk menimang cahaya mata, kini Nabihah perlu berdepan hakikat kehilangan suami tercinta.

“Saya harap dia kuat menghadapi dugaan ini demi anak tunggal mereka,” katanya yang memaklumkan jenazah Mohammad Isma akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanah Merah, Kelantan.

Difahamkan van membawa jenazah Mohammad Isma sudah dalam perjalanan dari Singapura ke Tanah Merah dan dijangka tiba awal pagi ini.

Cari telefon bimbit untuk tunaikan nazar
Dalam pada itu, Nadiah berkata, sebelum kejadian, Mohammad Isma ada memberitahu isterinya mengenai nazar serta beberapa urusan yang disenaraikan di dalam nota telefon bimbitnya.

Bagaimanapun, katanya, pihak polis memaklumkan tiada telefon bimbit ditemui pada adik iparnya sebelum semakan menerusi aplikasi mendapati peranti itu berada dalam sebuah bangunan berhampiran lokasi kejadian.

“Pelbagai usaha dilakukan bagi mengesan telefon bimbit itu tetapi tidak berjaya.

“Telefon bimbit itu amat penting untuk mendapatkan senarai urusan dan nazar yang dinyatakan adik ipar dalam peranti berkenaan.

“Kami mohon supaya telefon bimbit itu dipulangkan kerana ia adalah kenangan bagi keluarga arwah,” katanya lagi.

Sumber: Harian Metro

 


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply