Peranti Boleh Pakai Kelak Mungkin Dikuasakan Melalui Sentuhan Kulit Sahaja

Keunikan kemajuan teknologi ialah kita sebagai manusia akan sentiasa menemui cara baru untuk memajukan dan memudahkan kehidupan kita secara seharian. Peranti pintar dan peranti boleh pakai (wearables) kini dilihat sebagai objek-objek yang sudahpun menjadi satu kebiasaan dalam hidup kita, dan sehingga kini, tidak banyak yang boleh dilakukan untuk menambahbaik corak penggunaannya.

Saya katakan sehingga kini kerana baru-baru ini, sekumpulan penyelidik dari Future Interfaces Group dan Carnegie Mellon University, termasuklah Andy Kong, Daehwa Kim dan Chris Harrison telah menemukan satu cara untuk peranti-peranti boleh pakai seperti jam, cincin, mahupun anting-anting pintar untuk beroperasi tanpa bateri.

Teknologi terbaru ini dinamakan Power-over-Skin yang membolehkan peranti elektronik yang bersentuhan dengan kulit untuk menyerap tenaga frekuensi radio dari badan untuk menguasakan peranti-peranti tersebut.

Penyelidikan ini juga menemui bahawa terdapat beberapa bahagian badan yang akan mengeluarkan jumlah tenaga RF pada frekuensi 40 MHz yang lebih tinggi dari biasa, dan ini adalah seperti bahagian kepala dan pergelangan tangan, dimana kebanyakan aksesori-aksesori elektronik ini dipakai.

Diantara contoh-contoh peranti yang diberikan yang boleh dikuasakan secara power-over-skin ini termasuklah cincin, anting-anting, jam, kalkulator malah peranti pintar juga. Lebih menarik lagi, dalam beberapa senario, peranti-peranti ini boleh mendapatkan kuasa elektrik yang dijana melalui badan dan menembusi pakaian nipis.

Konsep menggunakan tenaga RF untuk menguasakan peranti elektronik bukanlah sesuatu yang baru. Akan tetapi, penyelidikan untuk menggunakan tenaga tersebut, khususnya yang dijana oleh tubuh badan boleh dikatakan baru, dan sekiranya berjaya dibangunkan, nampaknya boleh juga menguasakan peranti-peranti lebih besar seperti set realiti maya, kaca mata pintar dan sebagainya yang tidak lagi memerlukan kuasa bateri terbina.

Mungkin untuk masa ini, diantara perkara yang perlu diselesaikan ialah untuk menentukan sekiranya konsep menguasakan perkakasan elektronik menggunakan tenaga yang dijana badan manusia ini akan mendatangkan sebarang kemudaratan ataupun tidak. Jika berjaya, ia mungkin boleh mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan nadir bumi untuk menguasakan peralatan elektronik kecil.


Posted

in

,

by

Tags:

Comments

Leave a Reply