NIDJI Tetap Teruskan Perjuangan Muzik Meskipun Tanpa Giring, Mahu Fokus Konsert Solo Februari Ini!

Band popular Indonesia, Nidji memaklumkan bahawa mereka bukan berada dalam posisi yang tepat untuk mengulas pencapaian bekas vokalis mereka, Giring Ganesha, yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Kebudayaan dalam kabinet Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.

Menurut Ramadhista Akbar, gitaris Nidji, setiap anggota band kini sudah memilih jalan hidup masing-masing, dan mereka lebih memfokuskan perhatian kepada perjuangan muzik yang telah mereka bina sejak tahun 2002.

“Ini adalah jalan masing-masing, jadi tidak perlu ada yang dijawab lagi. Kalau berbalik ke konteks muzik, kami masih meneruskan bidang ini dan keadaan sekarang sudah berbeza. Dia (Giring) sudah berada dalam dunianya.

“Jadi, tiada jawapan lain, kerana memang sudah impian dia. Kami berjalan dengan konsisten dalam bidang muzik,” ujar Ramadhista pada sidang media konsert Nidji 2.3: The New Chapter di Hard Rock Cafe, baru-baru ini.

Pemain keyboard, Randy Danistha, menambah bahawa Nidji kini lebih suka untuk memberi fokus kepada karya mereka. Mereka juga teruja dengan lembaran baharu yang bakal dilalui oleh band ini.

“Boleh dengarkan lagu Wadoow kerana ia menceritakan mengenai bagaimana jalan kami. Sekarang kami fokus dengan apa yang sudah dibina.

“Alhamdulillah kita boleh mencari rezeki daripada bidang ini yang juga mampu menginspirasi ramai. Kami masih terus dengan muzik,” kata Randy.

Vokalis utama Nidji, Yusuf Ubay, yang menggantikan Giring pada 2019, turut mengakui tidak terkesan dengan perbandingan antara dirinya dan Giring. Yusuf berkata, mereka kini lebih memberi tumpuan pada persiapan konsert mereka yang akan berlangsung tahun hadapan.

“Kita lebih fokus untuk konsert ini yang akan berlangsung tahun depan. Kami sudah dengan perjalanan yang baharu. Ini adalah ‘new chapter’ sesuai dengan tajuk konsert ini.

“Cukup kami buat pendengar gembira, itu sudah baik. Kalau ada yang membandingkan antara saya dan penyanyi lama, mungkin mereka tidak datang ke konsert kami,” jelas Yusuf.

Untuk pengetahuan, Yusuf Ubay menyertai Nidji secara rasmi pada 2 Februari 2019, selepas mempamerkan bakatnya dalam pertandingan Nidji Vocal Hunt.

Giring Ganesha pula memilih untuk berundur daripada band pada 2019 untuk memberi tumpuan kepada kerjaya politiknya dan bertanding dalam Pemilihan Umum Indonesia 2019. Pada 21 Oktober lalu, Giring dilantik sebagai Timbalan Menteri Kebudayaan dalam kabinet pimpinan Presiden Prabowo.

Setelah hampir 18 tahun tidak mengadakan konsert solo di Malaysia, Nidji akan mengadakan konsert besar sempena ulang tahun ke-23 mereka. Konsert Nidji 2.3: The New Chapter dijadualkan berlangsung pada 2 Februari tahun depan di Axiata Arena, Bukit Jalil. Acara ini akan dibawakan oleh MND Sport & Event.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.


by

Comments

Leave a Reply