Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah menjalankan operasi besar-besaran sepanjang bulan Oktober dengan fokus pada kenderaan perdagangan. Dalam operasi yang diberi nama Ops Khas Kenderaan Perdagangan ini, sebanyak 133,714 saman telah dikeluarkan ke seluruh negara.
Menurut Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Malaysia, Muhammad Kifli Ma Hassan, JPJ telah memeriksa sejumlah 526,215 kenderaan perdagangan sepanjang tempoh operasi sebulan ini.
Daripada jumlah itu, sebanyak 69,379 kenderaan telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan. JPJ juga telah menyita sebanyak 551 kenderaan yang didapati melanggar peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987, dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
Dalam sidang media di Kilometer 1, Jalan Sitiawan-Manjung, Muhammad Kifli mengingatkan bahawa operasi ini adalah untuk memastikan semua kenderaan perdagangan mematuhi undang-undang dan mengurangkan risiko kemalangan jalan raya. Turut hadir pada sidang media itu adalah Pengarah JPJ Perak, Mohammad Yusoff Abustan.
79 Pemandu Positif Dadah, Lesan Boleh Digantung
Sebagai langkah keselamatan tambahan, JPJ bekerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk melakukan ujian urin terhadap 1,713 pemandu kenderaan perdagangan. Hasilnya, 79 orang pemandu berusia antara 22 hingga 55 tahun didapati positif dadah, terutamanya jenis methamphetamine.
Muhammad Kifli turut menyatakan bahawa saringan kedua akan dilakukan untuk mengesahkan keputusan ini. Sekiranya masih positif pada saringan kedua, tindakan penggantungan lesen memandu akan diambil oleh JPJ.
Langkah ini diambil untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta memastikan pemandu kenderaan perdagangan berada dalam keadaan sesuai untuk memandu.
Pelekat Agensi Penguatkuasa Disalahgunakan
Dalam operasi yang sama, JPJ telah menahan sebuah kenderaan jenis Toyota Caldina yang disyaki membawa bungkusan dadah.
Lebih mengejutkan, kenderaan itu didapati mempunyai pelekat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JPJ pada cermin hadapannya. Tindakan ini dipercayai dilakukan bagi mengelak kenderaan itu daripada ditahan oleh pihak penguat kuasa.
Namun, usaha itu sia-sia apabila kenderaan tersebut tetap diperiksa dan hasil saringan urin menunjukkan pemandu serta penumpangnya positif dadah.
Muhammad Kifli mengingatkan orang awam supaya tidak menyalahgunakan pelekat agensi penguatkuasa untuk mengaburi pihak berkuasa. Beliau menekankan bahawa tindakan akan tetap diambil walaupun kenderaan itu mempunyai pelekat agensi berkuasa.
“Pemandu yang positif dadah itu cuba mengundur kenderaan yang boleh mengundang kemalangan, tetapi berjaya ditahan oleh penguatkuasa JPJ. Kami minta orang ramai untuk tidak salah guna pelekat tersebut kerana tiada kompromi akan diberikan jika didapati bersalah,” katanya.
Usaha Berterusan JPJ Menjaga Keselamatan Jalan Raya
Keselamatan di jalan raya adalah keutamaan JPJ, dan tindakan tegas yang diambil sepanjang Ops Khas ini menunjukkan komitmen JPJ dalam membanteras salah laku di jalan raya. Terutamanya melibatkan kenderaan perdagangan. Langkah ini bukan hanya untuk menjaga keselamatan pengguna jalan raya, tetapi juga untuk memastikan pemandu kenderaan perdagangan mematuhi peraturan dan menghindari daripada sebarang penyalahgunaan dadah.
JPJ berharap agar tindakan ini dapat memberi kesedaran kepada pemandu dan pemilik kenderaan perdagangan untuk lebih berdisiplin dan menghormati peraturan yang ditetapkan.
Dari Harian Metro
Baca Juga JPJePlate – Rekaan Gaya Eropah, Berharga RM98
++Untuk update mengenai dunia automotif, jangan lupa follow kami di Youtube, Instagram & TikTok.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.