Usai solat kita memilih untuk duduk berehat seketika sambil menongkat tangan kiri di lantai. Atau boleh jadi kita biasa duduk di lantai dengan cara yang sama.
Mungkin ramai tidak tahu bahawa cara duduk seperti ini adalah cara duduk golongan yang dimurkai dan ia termasuk cara duduk yang dimakruhkan.
Perkara ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Syirrid bin Suwaid R.A, katanya:
مَرَّ بِى رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- وَأَنَا جَالِسٌ هَكَذَا وَقَدْ وَضَعْتُ يَدِىَ الْيُسْرَى خَلْفَ ظَهْرِى وَاتَّكَأْتُ عَلَى أَلْيَةِ يَدِى فَقَالَ : “أَتَقْعُدُ قِعْدَةَ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ”
Maksudnya: “Rasulullah pernah melintas di hadapanku sedang aku duduk seperti ini, iaitu bersandar pada tangan kiriku yang aku letakkan di belakang. Lalu baginda Nabi bersabda: “Adakah engkau duduk sebagaimana duduknya orang-orang yang dimurkai?”
Riwayat Abu Dawud (4848), dan Ahmad (19454). Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ (4/474) menyatakan bahawa sanad hadith ini sahih.
Menurut Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri melalui ulasannya dalam Maktabah Al Bakri, ulamak Syeikh Muhammad bin Soleh al-’Uthaimin mengatakan bahawa jenis duduk ini telah disifatkan oleh Nabi SAW sebagai duduknya orang yang dimurkai.
Namun tiada masalah jika seseorang itu duduk dan meletakkan tangan kedua tangan di belakang badannya dan bersandar pada tangan tersebut.
Yang dijelaskan oleh Nabi SAW sebagai duduk orang yang dimurkai adalah ketika seseorang meletakkan tangan kirinya di belakang badannya dan menekannya ke tanah sebagai penongkat dan bersandar padanya. Inilah yang dijelaskan oleh Nabi SAW sebagai duduknya orang yang dimurkai.” (Lihat Syarh Riyadh al-Solihin, hlm. 930)
Beliau turut menyimpulkan bahawa hukum duduk dengan menyandarkan pada tangan kiri ini sebagaimana yang disifatkan oleh Nabi SAW adalah dimakruhkan walaupun terdapat juga pandangan yang menyatakan bahawa ia adalah haram.
Hal ini kerana tidak ada dalil yang lebih keras menegahnya, seumpama akan dikenakan suatu azab di neraka, atau orang yang duduk seperti itu pasti akan dimurkai Allah SWT dan sebagainya. Ia hanya disebut sebagai suatu cara duduk ‘orang yang dimurkai’.
Maksud larangan dalam hadith tersebut adalah larangan terhadap orang mukmin daripada menyerupai mereka yang dimurkai itu. Maka, hukumnya menurut ramai ulama adalah makruh. Namun begitu, sebagai orang mukmin adalah selayaknya untuk meninggalkan cara-cara duduk yang dilarang oleh Nabi SAW ini.
Justeru, dalam hal ini, bagi sesiapa yang ingin bersandar, hendaklah bersandar pada lengan tangan kanannya dan bukan pada tangan kirinya, atau bersandar pada kedua tangan mereka secara bersamaan.
Sumber: Maktabah Al Bakri & TikTok Abu Zurah
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.