Bolehkah guna mimpi sebagai hujah?

mimpi yang baik adalah mimpi yang dialami oleh para nabi, wali-wali ALLAH SWT dan orang-orang soleh. Foto CANVA

MENURUT Kamus Dewan Edisi Keempat, mimpi ditakrifkan sebagai sesuatu yang terlihat atau dialami dalam tidur serta didefinisikan juga sebagai angan-angan.

Persoalannya, apakah Islam membenarkan mimpi seseorang digunakan sebagai hujah? Apakah boleh dipercayai takwilannya?

Menjawab persoalan tersebut, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, mimpi merupakan hal keadaan yang biasa berlaku kepada manusia.

Jelasnya, para ulama membahagikan mimpu kepada tiga bahagian berdasarkan hadis diriwayatkan Auf bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda:

“Mimpi itu ada tiga jenis iaitu mimpi yang merupakan gangguan syaitan untuk meresahkan anak Adam, mimpi yang pada asalnya perkara yang difikirkan manusia ketika jaga lalu terbawa hingga ke dalam tidur dan mimpi yang merupakan satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

MIMPI tidak boleh dijadikan hujah untuk menetapkan sesuatu hukum syarie sama ada halal, wajib atau haram. Foto CANVA

Abu Hurairah RA turut meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya mimpi itu mempunyai tiga jenis. Mimpi yang baik itu merupakan berita gembira itu yang datang daripada ALLAH SWT. Mimpi yang buruk dan membawa kesedihan itu adalah daripada syaitan. Dan mimpi yang disebabkan oleh apa yang berlaku ke atas seseorang itu. Jika sekiranya sesiapa dalam kalangan kamu bermimpi sesuatu yang buruk, hendaklah dia berdiri dan mendirikan solat sunat, serta janganlah dia memberitahu mimpinya itu kepada orang lain.” (Hadis Riwayat Muslim)

Justeru itu, dapat disimpulkan bahawa tiga bahagian mimpi tersebut ialah:

1 – Mimpi yang baik dan benar (ar-ru’ya al-hasanah). Ia adalah apa yang disifatkan Rasulullah SAW sebagai satu bahagian daripada kenabian Nabi Muhammad SAW.

2 – Mimpi yang buruk dan dusta (ar-ru’ya as-sayyi’ah). Ia adalah permainan tidur oleh syaitan.

3 – Mimpi disebabkan oleh adat bagi diri seseorang. Apa yang dilihat seseorang di dalam mimpi berkaitan apa yang dia disibukkan olehnya ketika dia sedang jaga.

Menurut pejabat mufti itu, ALLAH SWT menjadikan mimpi baik sebagai salah satu daripada mukjizat kenabian yang dibenarkan oleh-NYA direkodkan dalam ayat ke-27 surah al-Fath.

“Antara mimpi yang baik adalah mimpi yang dialami oleh para nabi, wali-wali ALLAH SWT dan orang-orang soleh seperti yang diceritakan di dalam al-Quran.

“Mimpi yang buruk pula dialami oleh seseorang manusia dan merupakan permainan daripada syaitan yang ingin menimbulkan rasa tidak tenteram dalam diri manusia,” jelasnya dalam artikel Irsyad Hukum Siri ke-334: Bolehkah menggunakan mimpi sebagai hujah dan mempercayai takwilannya? seperti disiarkan dalam laman web rasminya sebelum ini.

Dalam satu hadis Rasulullah SAW menyebutkan bahawa jika seseorang bermimpi sesuatu yang buruk, hendaklah dia meludah ke belah kirinya dan hendaklah membaca istiazah, ujarnya.

APA yang dilihat seseorang di dalam mimpi juga berkaitan apa yang dia disibukkan olehnya ketika dia sedang jaga. Foto CANVA

Berkenaan mimpi sebagai hujah, pejabat mufti itu menjelaskan, berbeza hal dan keadaannya bagi setiap orang yang bermimpi, ia memerlukan takwil yang khusus kepada perkara tersebut.

“Ia boleh jadi datang daripada ALLAH SWT dan juga boleh jadi merupakan permainan daripada syaitan.

“Justeru, mimpi termasuk dalam dalil-dalil yang dikhilafkan oleh para ulama’ (al-adillah al-mukhtalafat fih) dan bersifat zanniyyah (syak).

“Begitu juga tafsiran dan takwilan mimpi tersebut tidak boleh dijadikan hujah kepada dirinya sendiri dan ke atas orang lain. Ini sama dengan kaedah menyebutkan bahawa tidak ada qias terhadap individu kepada individu yang lain,” hurainya panjang.

Tambahnya lagi, tafsir mimpi pula merupakan satu ilmu muktabar yang mempunyai kaedah dan usulnya tersendiri.

“Sumber-sumbernya adalah berdasarkan kepada al-Quran, sunnah dan juga berdasarkan qiyas dan tasybih bagi ayat-ayat al-Quran. Ia juga dinamakan sebagai ilm al-Ta’bir dan ilm al-Takwil.

“Ia tidak boleh dipelajari oleh sebarangan orang kecuali golongan yang diberikan kelebihan oleh ALLAH SWT untuk mengetahui rahsia-rahsianya,” hurainya.

Tambahan pula, tafsir dan takwil mimpi hendaklah datang daripada orang yang beramal soleh, bersikap jujur dan sentiasa berkata benar.

“Lebih-lebih lagi jika seseorang itu berada dalam keadaan mengikut sunnah Rasulullah SAW seperti berwuduk sebelum tidur,” katanya.

Justeru, hukum mempercayai takwil atau tafsir mimpi adalah dibolehkan, namun hendaklah mengikut kaedah berikut:

1 – Tidak beriktikad dan yakin bahawa takwilan dan tafsiran itu seratus peratus benar dan mustahil untuk berlaku sebaliknya.

2 – Hendaklah takwilan dan tafsiran mimpi tersebut tidak bertentangan dengan akidah Islam dan tidak membawa kepada melanggar hukum-NYA yang telah sabit dengan dalil-dalil syarak.

3 – Tafsir dan takwil berdasarkan kepada tafsiran yang benar dan dipercayai seperti kitab-kitab yang muktabar, orang-orang yang terkenal dengan kesolehan, keilmuan, jujur serta benarnya dia dalam berkata-kata.

MIMPI yang dialami janganlah pula menyebabkan perkara buruk dan negatif seperti putus asa, lemah semangat, meninggalkan usaha, bersikap pesimis atau terlalu optimis.

4 – Tidak membawa kepada perkara yang buruk dan negatif seperti putus asa, lemah semangat, meninggalkan usaha, bersikap pesimis atau terlalu optimis dan sebagainya.

“Sebagai kesimpulannya, kami menyimpulkan bahawa mimpi bukan dalil syarak dan tidak boleh dijadikan hujah untuk menetapkan sesuatu hukum syarie sama ada halal, wajib atau haram.

“Tambahan pula, ia tidak boleh dijadikan hujah ke atas diri sendiri atau orang lain. Ini kerana orang biasa tidak mampu melepaskan diri daripada hasutan syaitan.

“Justeru tidak boleh memastikan kesahihan takwilan mimpi yang dialaminya tersebut walaupun dia bermimpi berjumpa Rasulullah SAW,” jelasnya.

Ujarnya lagi, hanya mimpi para nabi dan rasul sahaja merupakan mimpi yang benar yang dijadikan sumber hukum serta merupakan hujah syarak kerana mereka dilindungi ALLAH SWT dan terlepas daripada mainan syaitan.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply