KUALA LUMPUR – Pas digesa segera menyatakan pendirian susulan tindakan beberapa ahli Parlimennya mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dan palsu.
Ahli Parlimen Kota Melaka, Koo Poay Tiong berkata, penjelasan tersebut penting agar selari dengan perjuangan parti yang dipimpin Tan Sri Abdul Hadi Awang itu.
“Kita lihat sekarang ini ramai antara Ahli Parlimen Pas yang keluarkan kenyataan rekaan dan pembohongan.
“Sebelum ini, Ahli Parlimen Kepala Batas (Dr Mastura Muhammad) mengatakan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng ada hubungan dengan Chin Peng.
“Terbaharu Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim buat rekaan bahawa SPRM ada menjumpai sejumlah wang tunai di rumah bekas menteri DAP.
“Jadi, saya hendak tanya, adakah ini yang dibenarkan oleh Pas (keluar kenyataan fitnah). Saya hendak tanya perjuangan parti politik berasaskan agama Islam (Pas) ini, adakah itu yang diajar? Saya hendak Pas jawab,” katanya ketika sidang akhbar di Pusat Media Parlimen di sini pada Isnin.
Turut hadir, Guan Eng, Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar dan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.
Awang pada persidangan Dewan Rakyat pada Isnin membangkitkan dakwaan penemuan wang tunai berjumlah RM94 juta yang dikaitkan dengan seorang bekas Menteri Sumber Manusia daripada DAP.
Ahli politik Pas itu mempersoal siasatan kes berkenaan oleh SPRM kerana sudah lebih setahun ia dibangkitkan.
Susulan itu juga, SPRM tampil menjelaskan dakwaan Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki pernah mengeluarkan kenyataan bahawa RM94 juta ditemui di kediaman bekas menteri adalah tidak tepat.
SPRM memaklumkan, ketua pesuruhjaya suruhanjaya terbabit mahupun SPRM tidak pernah membuat sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut seperti dinyatakan Awang.
Sementara itu, Rayer dan Sivakumar mengesahkan akan mengemukakan usul untuk merujuk Awang ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mengeluarkan kenyataan mengelirukan dewan.
“Saya akan kemukakan usul ini kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul serta-merta,” kata Sivakumar.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.