GX Bank, penyedia perkhidmatan perbankan konvesional digital pertama, hari ini menyambut ulang-tahun pertama mereka sejak dilancarkan, dan pada masa yang sama turut berkongsi kini mempunyai hampir 1 juta pengguna berdaftar yang menggunakan perkhidmatan perbankan mereka.
GX Bank sebelum ini menjadi bank digital konvensional pertama yang mulakan operasi di Malaysia. Ia merupakan bank digital yang diterajui oleh Grab, dan mempunyai ciri menyimpan, kad debit fizikal yang dipautkan ke aplikasi, dan pautan ke aplikasi Grab. Sehingga ke hari ini, sekitar RM1.34 bilion disimpan melalui ciri poket simpanan pada GX Bank. Pihak GX Bank sendiri menyasarkan pengenalan beberapa ciri baharu selari ulang-tahun pertama mereka.
Salah satu ciri baharu yang diperkenalkan adalah sokongan chatbot dikuasakan kecerdasan buatan pada aplikasi mereka, dinamakan AIni. Melaluinya, para pengguna boleh bertanyakan sejumlah persoalan berkaitan perkhidmatan GX Bank, dan menerima jawapan. Sekiranya sesuatu jawapan tidak berjaya dijawab, AIni akan menghubungkan pengguna dengan GX Buddy untuk bantuan lanjut. AIni dijangka akan diperkenalkan kepada semua pengguna secara berperingkat dalam masa terdekat.
Disamping itu, GX turut menyasarkan pengenalan ciri GXWrapped pada aplikasi mereka, membolehkan pengguna melihat corak perbelanjaan mereka melalui paparan ringkas (seperti Spotify Wrapped), selain juga akan hadir dengan ciri lencana pada profil yang memberikan sejumlah lencana berdasarkan kepada penggunaan dan pencapaian menggunakan perkhidmatan perbankan GX.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.