Hujan lebat yang membumi di ibu negara tidak merencatkan semangat para pelari dan penunggang basikal daripada meneruskan cabaran mereka dalam acara The Orchid Run & Ride 2024, baru-baru ini.
Berlangsung di hadapan pencakar langit ikonik, Menara Berkembar Petronas, acara yang dianjurkan oleh Persatuan Isteri dan Kakitangan Wanita PETRONAS (PETRONITA) itu menampilkan tema ‘Meneruskan Legasi Besama Untuk Masa Depan Kita’ yang cukup istimewa memandangkan ia juga selari dengan dengan ulang tahun ke-50 penubuhan PETRONAS.
REMAJA yang turut berkesempatan untuk turut serta menyaksikan acara berkenaan berjaya menarik lebih daripada 8,000 orang peserta terdiri daripada kakitangan PETRONAS sendiri, keluarga para kakitangan dan orang ramai menerusi beberapa kategori termasuklah acara larian 5km, 12km dan acara berbasikal 12 km.
Ternyata, cuaca hujan yang bermula seawal 3.00 pagi sehingga 7.00 pagi pada hari berkenaan tidak menjadi halangan buat para peserta untuk tidak memberikan yang terbaik dalam kategori masing-masing.
Kongsi Presiden PETRONITA, Puan Sri Jemilia Md Jelas dalam ucapannya, “Acara ini bukan sahaja peluang untuk kami kumpulkan orang ramai ke arah gaya hidup sihat. Bahkan, ia juga memberi platform kepada masyarakat setempat untuk mengambil bahagian dalam memberi sumbangan tujuan amal.”
Hasil penganjuran acara berkenaan, dana bernilai RM500,000 telahpun berjaya dikutip bagi disalurkan kepada Majlis Kanser Kebangsaan (MAKNA), Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA).
Penaung BCWA, Puan Sri Dato’s Akmal Abdul Salam berkata, “Ramai individu yang terlepas pandang cabaran fizikal, emosi dan kewangan yang dihadapi oleh pesakit kanser payudara semasa dan selepas rawatan.
“Dengan sumbangan kali ini, kami berhasrat bagi menyediakan lebih ramai wanita Malaysia dengan ilmu, penjagaan dan sokongan bagi pengesanan awal kanser payudara di samping mengekalkan kualiti hidup optimum selepas menghidapi kanser,” katanya.
Mengakhiri acara The Orchid Run & Ride 2024, penganjur menampilkan beberapa aktiviti menarik termasuklah persembahan De Fam dan penampilan istimewa pemain badminton kebangsaan, Kong Zhou Swin dan Kang Khai Xing.
Sebagai info, acara ini juga bakal dilangsungkan di Johor dan Sarawak bagi menyambul ulang tahun PETRONAS ke-50 di dua lokasi tersebut serta bagi mengumpul lebih RM200,00 untuk disalurkan ke organisasi penjagaan kesihatan.
Acara ini turut disokong oleh beberapa penaja lain termasuklah Bank Simpanan Nasional, kafe MESRA, Setel dan kedai serbaneka PETRONAS.
Ihsan Foto: PETRONITA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.