SHAH ALAM – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyindir Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung perkongsiannya bertemu Nabi Muhammad SAW dalam mimpi sekitar 10 tahun lalu.
Mohd Puad berkata, mimpi dialami ahli Parlimen Marang itu mungkin mempunyai tafsiran berbeza contohnya petanda untuk mendamaikan UMNO dan Pas, jangan bermain politik atau menyertai Kerajaan Perpaduan.
Menurut beliau, pihaknya mempersoalkan sama ada tindakan Abdul Hadi dilihat ingin membuatkan ahli Pas dan orang awam lebih taasub terhadap dirinya kerana terpilih berjumpa dengan Rasulullah SAW melalui mimpi atau sebaliknya.
“Betullah kata Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari, kenapa kalut Abdul Hadi bermimpi jumpa Rasulullah SAW? Soalnya mengapa selepas 10 tahun? Apa motif?
“Apakah Hadi mahu ahli Pas dan orang ramai lebih ‘taasub’ kepada dirinya? Sekadar bertanya, bukan kalut.
“Apa usaha Abdul Hadi laksana mimpi yang baik itu? Bukan mudah damaikan Sunni dan Syiah sedunia. Sudah mula ke belum? 10 tahun telah berlalu,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Sebelum ini, tular di media sosial rakaman video ucapan Abdul Hadi yang menceritakan bagaimana Nabi Muhammad SAW datang ke Rusila di Marang, Terengganu selain meminta ahli politik tersebut mendamaikan perbalahan antara golongan Sunni dan Syiah.
Ahmad Fadhli pada Isnin berpandangan, kisah yang disampaikan Abdul Hadi lebih bersifat perkongsian dalaman dan terpulang kepada penerimaan orang awam sama ada ingin percaya atau tidak.
Terbaharu, Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) Datuk Dr Nooh Gadut telah diminta untuk memberikan penjelasan dan pencerahan kepada masyarakat berkaitan isu mimpi bertemu Nabi Muhammad SAW.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu terbabit dalam masa terdekat.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.