SHAH ALAM – Barisan pimpinan baharu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang terpilih perlu menggalas amanah dan tanggungjawab untuk mengemudi parti berkenaan sebaik mungkin.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia merupakan masa untuk bertaut kembali dan memperkukuhkan parti demi kelangsungan perjuangan dalam menghadapi cabaran yang lebih besar.
“Alhamdulillah, proses pemilihan Bersatu selesai dengan sempurna. Saya mengucapkan tahniah kepada semua yang berjaya memenangi pemilihan kali ini. Kepada yang tidak berjaya, teruskan perjuangan.
“Kepada semua barisan kepimpinan yang terpilih dalam pemilihan ini, khususnya Majlis Pimipinan Tertinggi (MPT), sayap-sayap Srikandi, Armada, Srikandi Muda dan ketua-ketua bahagian, galaslah amanah dan tanggungjawab anda mengemudi parti dengan sebaik-baiknya,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Keputusan rasmi pemilihan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu 2024-2027 bagi tiga jawatan Naib Presiden menyaksikan dua penyandangnya iaitu Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mendapat undian tertinggi.
Turut mendapat undian tertinggi ialah bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, sekali gus menewaskan tiga calon lain iaitu Timbalan Ketua Bersatu Selangor, Mohd Rafiq Mohd Abdullah; Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris dan Ketua Bahagian Bersatu Batu Kawan, Aziss Zainal Abidin.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) yang dipengerusikan Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi kerana telah melaksanakan tugas mengendalikan pemilihan kepimpinan parti berkenaan.
“Abdul Azim dan seluruh anggotanya telah berjaya melaksanakan tanggungjawab mengendalikan pemilihan parti dengan baik,” ujar beliau.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.