Dengar lagu ‘APT’ zina telinga, boleh rosakkan iman dan hati

TIDAK salah untuk mendengar muzik asalkan ia tidak melanggar batas syariat Islam. Foto CANVA

BERHIBUR dan berseronok seperti mendengar muzik tidaklah dilarang dalam Islam, asalkan ia tidak melampaui batas-batas syarak.

Ini kerana keinginan untuk berhibur merupakan fitrah insan yang telah ditetapkan ALLAH SWT kepada hamba-hamba-NYA.

Terdapat pelbagai lagu dan genrenya yang dicipta untuk tujuan berhibur termasuk lagu-lagu yang ‘catchy’ dan menjadi ikutan ramai termasuk golongan muda.

Bagaimanapun, di sebalik lagu-lagu yang hit itu, kadangkala diselitkan dengan pelbagai agenda dan tujuan tertentu termasuk elemen lucah dan mengajak kepada pergaulan bebas.

Salah satu lagu tersebut bertajuk ‘APT’ yang dinyanyikan secara duet oleh penyanyi Rose Blackpink dan Bruno Mars.

USTAZ ADNIN

Bimbang dengan sikap umat Islam yang turut terjebak dengan lagu tersebut, pendakwah selebriti, Ustaz Ahmad Adnin Roslan tampil dengan tegurannya melalui aplikasi TikTok.

Selepas membuat penelitian terhadap lirik lagu berkenaan, beliau terus menjelaskan perbuatan mendengar lagu itu boleh dikategorikan sebagai zina telinga.

“Apabila saya ‘google’ lirik lagu ‘APT’ itu, liriknya teruk. Ia mengajak kepada pergaulan bebas, zina dan arak.

“Dan jika dengar lagu-lagu macam itu, zina telinga namanya,” hurainya.

LIRIK lagu ‘APT’ yang mengajak kepada pergaulan bebas dan boleh merosakkan iman serta hati.

Ustaz Adnin kemudian menjelaskan zina bukan sahaja merujuk kepada zina tubuh badan, malah ada juga kategori lain yang merujuk kepada zina iaitu:

1 – Zina mata yang melihat kepada benda-benda haram.

2 – Zina hati yang membayangkan kepada benda-benda haram.

3 – Zina telinga yang mendengar benda-benda yang haram.

4 – Zina kemaluan.

Menurutnya, mendengar lagu dan liriknya seperti itu menyebabkan kita terjebak dengan zina telinga dan ia boleh merosakkan iman dan hati.

Tambahnya lagi, komposer lagu berkenaan juga dilihat secara terang-terang memberi sokongan kepada zionis.

“Apabila dihidangkan dengan hiburan sedikit, kamu semua dah lalai dan terus hilang prinsip semata-mata nakkan viral. Janganlah macam itu sahabat sekalian.

“Sebab itu antara perjuangan saya selain bagi ceramah dan tulis buku, saya juga nak bantu anak muda berubah dengan menghasilkan lagu-lagu dakwah yang berkualiti,” katanya yang juga penulis buku Tarbiah Sentap.

Sementara itu, Masjid Al-Azhar Universiti Islam Selangor dalam laman webnya menjelaskan zina terbahagi kepada dua iaitu zina hakiki dan zina majazi.

ISLAM mengharamkan perbuatan zina termasuk zina anggota tubuh badan, sebaliknya berkahwinlah agar fitrah manusia untuk berpasangan dapat ditunaikan. Foto CANVA

“Zina hakiki adalah hasil daripada penyalahgunaan nafsu pada alat kelamin dan akibatnya berlaku persetubuhan haram antara pasangan bukan suami isteri dan bukan juga seorang tuan dengan hambanya.

“Ia merupakan dosa besar dan boleh dihukum hukuman hudud 100 kali sebatan,” jelasnya.

Tambahnya, zina majazi pula bermaksud zina yang berpunca daripada penyalahgunaan pancaindera mata, telinga, lidah, tangan dan kaki.

“Ia hanya dosa kecil dan tidak dikenakan hukuman hudud ke atas pelakunya namun ia mendorong kepada kemuncak segala zina iaitu zina kelamin atau zina hakiki.

“Oleh itu, menjaga pancaindera daripada melakukan zina kecil juga satu tuntutan dalam menghindari zina hakiki,” katanya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply