Mengapa manusia diuji dengan sikap pasangan?

PENTING untuk kita ambil tahu dan mengenali sikap bakal pasangan masing-masing sebelum berumah tangga. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

KEHIDUPAN berumah tangga ada pasang surutnya dan tidak terlepas daripada pelbagai ujian kehidupan.

Sesetengah daripada mereka yang sudah berkahwin adakalanya diuji dengan pasangan yang suka ‘buat perangai’ hinggakan naik ‘darah’ dibuatnya.

Ada segelintir orang mendapat suami yang merasakan hanya dirinya sahaja betul dan apa yang dilakukan isteri pula semuanya salah. Begitu juga sebaliknya.

Disebabkan itulah pendakwah Ustaz Azhar Idrus mengingatkan betapa pentingnya bab pemilihan pasangan sebelum melangkah ke alam perkahwinan.

USTAZ AZHAR IDRUS

Beliau menyarankan agar kita ambil tahu dan mengenali sikap bakal pasangan hidup masing-masing sebelum memutuskan untuk bernikah.

“Jangan tengok dia (perangai) baik di depan, tetapi (lihat sikapnya) di belakang (kita) juga sebab sekarang ada banyak ‘pelakon’ dalam drama hidup ini.

“Di hadapan kita, sikapnya sungguh baik, tetapi tidak apabila di belakang kita. Apabila dapat (bernikah dengan) kita, (kita) ditampar dan diterajang pula, ada yang tak bagi nafkah dan sebagainya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di laman sosial YouTube miliknya bertajuk ‘Kenapa kita sering diuji dengan pasangan’ pada Isnin.

Bukan itu sahaja, Ustaz Azhar mengingatkan agar kita melakukan siasatan menyeluruh terhadap bakal pasangan sebelum bernikah.

“Jumpa ketua pegawai eksekutif (tempatnya bekerja) atau pengarahnya dan lihat disiplin bakal pasangan. Kemudian, pergi ke kedai kopi kegemarannya dan tanya pada (pemilik atau pekerja) kedai (tentang perangainya).

BAIK atau buruk perangai pasangan masing-masing, sabar dan terus berdoa kepada ALLAH SWT kerana dunia ini sememangnya pentas ujian untuk menakar keimanan seorang hamba kepada Pencipta-NYA. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

“Ingatlah, kita yang memilih sendiri pasangan. Bukannya mereka (bakal pasangan) diletak dalam guni, kemudian kita pilih (guni) A, B atau C,” selorohnya.

Agamawan itu kemudian mengemukakan hadis diriwayatkan oleh Ibnu Abbas RA yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Sebaik-baik daripada kalangan kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Melihat ungkapan nas itu, ujar beliau, jelas bahawa suami yang terbaik adalah apabila dia bersabar dan tidak membalas walaupun isterinya berbuat jahat.

“Apabila isterinya jahat, suami tetap baik; tatkala isterinya memaki, dia sebut astaghfirullah dan tidak melawan semula, manakala saat isterinya berleter, dia pula tersenyum.

“Itulah suami yang terbaik kerana dialah CEO (ketua pegawai eksekutif) iaitu pemimpin rumah tangga dan pemimpin besar kepada isteri.

“Jika isteri buat salah, ia selayaknya dengan kedudukannya yang mana dia dipimpin oleh suami. Jika pemimpin (suami) sendiri jahat, itu tak bagus,” katanya.

Baik atau buruk perangai pasangan masing-masing, Ustaz Azhar mengingatkan agar kita terus bersabar dan berdoa kepada ALLAH SWT kerana dunia ini sememangnya pentas ujian untuk menakar keimanan seorang hamba kepada Pencipta-NYA.

“Hidup ini ujian, kita duduk (di dunia) ini pun tempat ujian. ALLAH menguji hamba-NYA dengan ada yang dapat suami jahat, mertua tidak baik, anak tidak bagus, isteri berperangai buruk dan sebagainya, maka kita sesuaikanlah perjalanan hidup kita.

“Jangan sampai kita berputus asa dan menyalahkan ALLAH SWT,” titipnya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply