SHAH ALAM – Kemenangan kumpulan penyokong Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilihat akan mengekalkan momentum Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN) dalam arena politik jangka panjang.
Penganalisis politik, Dr G Manimaran berkata, Mohamed Azmin merupakan pemimpin dan ahli politik yang berpengalaman luas sejak berada dalam UMNO, kemudian di PKR dan kini Bersatu.
Katanya, lebih-lebih lagi ketika ini terdapat laporan media yang mengatakan Mohamed Azmin bakal dilantik sebagai Setiausaha Agung Bersatu.
“Kedudukan itu bakal menentukan kekuatan perjalanan Bersatu. Sudah tentu persoalannya sejauh mana gandingan Datuk Seri Hamzah Zainudin-Mohamed Azmin akan mencorakkan masa depan Bersatu dan PN kelak.
“Impak akan ada tetapi masih terlalu awal untuk mengatakan sejauh mana impak itu seperti yang diharapkan,” katanya kepada Sinar Ahad.
Jelasnya, Mohamed Azmin juga dilihat akan cuba menarik lebih ramai penyokong bukan Melayu ke dalam Bersatu.
“Tetapi saya menjangkakan di awalnya Mohamed Azmin akan mengukuhkan dahulu kedudukannya dalam Bersatu. Pengaruh ini lebih kepada penyokong Melayu tetapi beliau akan cuba menarik lebih ramai penyokong bukan Melayu ke dalam sayap parti mereka,” ulasnya.
Bagaimanapun, Manimaran berkata, budaya berpuak atau kem tidak baik untuk sebuah parti baharu seperti Bersatu.
“Saya yakin Mohamed Azmin pun akan bersetuju dengan pandangan ini. Isu berpuak atau kem juga bukan baharu tetapi mula tercetus atau kelihatan diamalkan sejak tiga tahun lalu apabila ramai ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyertai Bersatu sekali gus membawa kepada pembentukan PN,” jelasnya.
Pada Selasa, ADUN Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham secara rasmi dipilih sebagai Ketua Armada Bersatu bagi tempoh 2024-2027.
Kemenangan Muhammad Hilman dilihat sebagai petunjuk kepada kumpulan penyokong Mohamed Azmin yang mungkin akan menguasai pemilihan pucuk pimpinan tertinggi Bersatu kali ini.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.