KOTA BHARU – Kebanyakan ahli Parlimen gagal menyampaikan suara rakyat di Parlimen apabila ada yang mempertikaikan perkara remeh sehingga masa diberikan tamat begitu sahaja.
Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berpendapat, ahli Parlimen perlu berbahas secara matang sepanjang sesi persidangan di Dewan Rakyat.
Menurut beliau, setiap ahli dapat memberi cadangan dan penambahbaikan untuk rakyat
“Saya rasa kita perlu membuang tabiat mencelah dengan perkara remeh dan mengganggu perbahasan ahli Parlimen lain,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Ijtimak Tarbawi 10.0 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK).
Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Setar memberitahu, ahli Parlimen juga perlu mengemukakan idea berkualiti yang boleh membantu kerajaan dan negara.
“Malangnya ada juga yang sudah menyediakan teks tetapi gagal menghabiskannya apabila ‘diganggu’ dan itu hanya membuang masa perbahasan.
“Jadi kita tidak berjaya menyampaikan suara rakyat di dewan tertinggi yang menggubal dasar undang-undang,” katanya.
Dalam pada itu, Afnan Hamimi memberitahu, sebagai pembangkang, Pas akan terus menyalurkan maklumat di peringkat akar umbi kepada kerajaan.
Katanya lagi, setiap maklumat dikumpulkan daripada media massa atau luahan netizen kerana kami boleh menyampaikannya terus di Parlimen.
“Sebagai pembangkang, kami boleh menjadi semak dan imbang serta menyokong perkara baik dilaksanakan kerajaan,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.