MUAR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sangat kukuh dan berpengaruh ketika ini, biarpun wujud desas desus berlaku pergolakan dalaman ketika pemilihan berlangsung pada Sabtu.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemilihan merupakan proses yang perlu dilalui setiap parti politik dan pastinya akan wujud cabaran.
Bagaimanapun Pengerusi Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengakui sejak kebelakangan ini Bersatu kerap menjadi tumpuan termasuk penganalisis politik yang mendakwa kononnya berdepan konflik perpecahan dalaman.
“Saya pernah jadi ahli politik parti lain, sudah tentu bila waktu pemilihan, akan ada pihak yang tawarkan diri dan dilihat tidak sehaluan.
“Kalau dilihat sebagai tidak sehaluan dengan pihak lain, itu biasa. Kalau tidak, tak ada orang sama (menjadi pemimpin) sebab kita mengamalkan sistem demokrasi.
“Siapa nak bertanding…bertandinglah…selesai pemilihan akan kembali bertaut semula. Itu perkara biasa kerana mereka lebihkan kedudukan parti bukan individu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan Pemilihan Perwakilan Bersatu Bahagian Pagoh di Kompleks Geliga Grisek di sini pada Sabtu.
Hadir sama Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Pagoh, Datuk Dr Sharuddin Jamal.
Muhyiddin dan Dr Sharuddin, masing-masing menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Pagoh.
Ahli Parlimen Pagoh itu menjelaskan, Bersatu kini menjadi rebutan kerana kemampuannya dan semangat pemimpin parti yang kuat walaupun dalam keadaan sukar.
Katanya, perkara itu terbukti ketika pemilihan jawatankuasa Bersatu di peringkat bahagian mahupun pun pusat, ramai yang mencalonkan diri menjadi ahli dan pemimpin.
“Apabila orang kata sudah macam hancur pecah lebur seperti yang saya baca daripada penganalisis, mereka ini bukan duduk di bawah pun mereka tak tengok perkembangan parti.
“Itu dia kata begitu sebab tak sukakan kita, saya dah lama berpolitik tapi bagi saya tiada sebab. Malah di mana-mana pun, semangat pimpinan Bersatu ada walaupun dalam keadaan sukar pun kita masih kuat.
“Kita sudah buktikan bahawa kita ada kemampuan, jadi bila berdepan dengan perkara sebegini, ia adalah cabaran biasa,” katanya.
Muhyiddin seterusnya mengingatkan pihak tertentu agar tidak mereka-reka cerita mengenai Bersatu akan berpecah-belah.
“Sejarah Bersatu ini masih pendek, jangan bandingkan dengan parti yang sudah berpuluh-puluh tahun.
“Walaupun hanya berusia enam tahun, tetapi Bersatu sudah berkembang sebagai satu parti yang boleh dikatakan ada pengaruh.
“Kini, kita ada 90 wakil rakyat di Parlimen dan DUN (Dewan Undangan Negeri) dan pada masa sama, kita ada lebih 200 cawangan serta hampir 700,000 ahli,” katanya.
Memetik media sebelum ini, penganalisis politik dilaporkan berkata perpecahan dalaman khususnya membabitkan dua kem dalam Bersatu tidak mampu ‘disembunyikan’ lagi dengan bantahan demi bantahan diterima parti itu sebaik keputusan pemilihan jawatankuasa peringkat Armada, Srikandi dan Srikandi Muda diumumkan.
Sebelum ini juga, timbul desas desus mengaitkan terdapat dua kem dalam Bersatu, iaitu kem Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan kem Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.