Penting perbaiki kualiti sembahyang

PENTING buat umat Islam untuk sentiasa memperbaiki solatnya kerana ia merupakan amalan pertama yang akan dihisab pada hari kiamat. Foto CANVA

SEBAGAI tiang utama dalam Rukun Islam, solat sepatutnya dilaksanakan dengan kaedah paling baik oleh umat Islam berpandukan ajaran Rasulullah SAW.

Bagaimanapun, sebahagian kita hanya belajar mendirikan solat ketika berada di bangku sekolah dan selepas tamat persekolahan, pelajaran berkaitan agama termasuk solat juga terhenti di situ.

Iktibar Mimbar Jumaat kali ini membawakan khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Mufti Negeri Pahang bertajuk Tahsin Solat dan dibacakan khatib Jumaat lalu.

Pada awal khutbah, jabatan itu mengajak para jemaah untuk menghayati perkara yang sangat penting dalam kehidupan Muslim iaitu tahsin solat.

“Tahsin solat bermaksud memperbaiki, memperelok dan meningkatkan mutu solat supaya ia dilaksanakan dengan lebih sempurna dalam keadaan khusyuk dan memenuhi segala rukun serta syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syariat.

“Ia merangkumi aspek bacaan, gerakan, niat serta kehadiran hati semasa melaksanakannya,” ujarnya.

Kenapa tahsin solat sangat penting?

Menjawab persoalan mengapa tahsin solat sangat penting, khatib menjelaskan, ini kerana solat merupakan tiang agama dan ibadah yang pertama sekali dihisab pada hari kiamat.

SOLATLAH dengan khusyuk dan hati yang ikhlas kerana ALLAH SWT. Foto CANVA

Ujarnya, Rasulullah SAW bersabda: “Amalan pertama yang akan dihisab bagi seorang hamba pada hari kiamat adalah solatnya. Jika solatnya baik, maka baiklah seluruh amalannya. Jika solatnya rosak, maka rosaklah seluruh umatnya.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

“Hadis ini memberikan kefahaman bahawa hanya solat yang sempurna sahaja akan diterima dan menyelamatkan kita di akhirat.

“Sebaliknya jika solat tidak terjaga atau tidak berkualiti, maka seluruh amalan kita yang lain juga akan menjadi rosak dan tidak berguna.

“Maka syarat untuk berjaya di akhirat adalah melaksanakan solat dengan sempurna dengan menjaga waktunya, betul bacaannya dan elok pergerakannya menepati cara solat seperti diajar Rasulullah SAW serta ditunaikan dengan penuh khusyuk,” hurainya panjang.

Ia sebagaimana firman ALLAH SWT dalam ayat ke-238 surah al-Baqarah.

Menurut khatib, perkara lain yang perlu diberi perhatian umat Islam ketika solat adalah khusyuk yang membawa maksud kehadiran hati dan tumpuan penuh kepada ALLAH SWT seperti firman-NYA dalam ayat pertama dan kedua surah al-Mukminun:

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.”

Katanya, khusyuk dalam solat tidak mudah dicapai tanpa usaha dan latihan. Umat Islam perlu mengosongkan hati daripada hal-hal duniawi serta menghadirkan rasa takut dan cinta kepada ALLAH dalam setiap gerakan dan bacaan solat.

Solat sempurna bermula sebelum ia didirikan

Pesan khatib lagi, solat yang baik dan sempurna bermula dari sebelum solat itu ditunaikan lagi dan salah satunya adalah wuduk yang diambil hendaklah sah.

Kemudian kita mesti memperbaiki niat sebelum solat dengan memastikan ia dilakukan semata-mata kerana ALLAH SWT dan menghindari sifat riyak atau keinginan untuk dipuji oleh orang lain, katanya.

SOLAT yang sempurna bermula sebelum ia didirikan termasuklah mengambil wuduk dengan sempurna. Foto CANVA

ALLAH SWT berfirman dalam ayat keempat hingga keenam surah al-Ma’un:

“Maka kecelakaan besar bagi orang-orang yang bersolat. (Iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan solatnya. (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riyak (dalam ibadahnya).”

Dalam solat katanya, terdapat 13 rukun kesemuanya merangkumi rukun qalbi iaitu melibatkan hati, rukun qauli iaitu bacaan atau sebutan dan rukun fi’li iaitu berkaitan pergerakan atau perbuatan.

“Jika ada mana-mana rukun yang tertinggal walaupun satu sahaja atau dilaksanakan secara salah, maka solat kita tidak sah.

“Oleh sebab itu, kita mesti mempunyai ilmu dan kefahaman yang mendalam tentang selok-belok solat yang menepati syariat Islam dalam Mazhab Syafie,” jelasnya.

Menurut khatib, ramai orang mungkin terlepas pandang dengan bebarapa kesalahan yang biasa dilakukan sehingga menjadikan solatnya tidak sah.

Sebagai contoh, tidak melafazkan Allahu akbar di mulut ketika takbiratulihram dan hanya diucapkan dalam hati.

“Sepatutnya lafaz takbiratulihram iaitu Allahu akbar hendaklah disebut sepenuhnya di mulut dan didengari oleh telinganya sendiri serta tidak memadai hanya diungkap dalam hati.

“Demikian juga ramai yang tidak mengambil berat untuk memperbetulkan bacaan surah al-Fatihah. Ada yang membacanya dengan laju hingga tidak tepat makhraj dan tajwidnya,” katanya.

Ujarnya, ada juga yang tidak betul bacaan tahiyyatnya atau memberi salam hanya dengan memalingkan kepala ke kanan dan ke kiri, tetapi lafaz salam tidak disebut di mulut.

“Dari segi pergerakan pula, pelbagai kesalahan sering dilakukan seperti tidak berdiri dengan betul, tangan berayun-ayun ketika solat, tidak rukuk dan sujud dengan betul dan tiada tamakninah.

BAGI menunaikan solat yang sempurna, umat Islam wajib belajar ilmu Fiqh Solat. Foto CANVA

“Hal ini disifatkan Rasulullah SAW seperti perbuatan mencuri dalam solat,” katanya.

Khatib kemudian membacakan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Baginda bersabda:

“Seburuk-buruk manusia ialah mencuri dalam solatnya. Para sahabat bertanya: ‘Ya Rasulullah, bagaimana seseorang mencuri dalam solatnya?’ Baginda menjawab: ‘Dia tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya.’ Atau Baginda bersabda: ‘Dia tidak meluruskan tulang belakangnya ketika rukuk dan sujud’.”

Sebagai kesimpulan, bagi menunaikan solat yang sempurna, khatib menjelaskan umat Islam wajib belajar ilmu Fiqh Solat supaya sembahyang diterima ALLAH SWT dan natijahnya ia menjadi benteng yang mencegah kita melakukan perbuatan keji dan mungkar.


Posted

in

by

Tags:

Comments

Leave a Reply