Tak ada yang sempurna dalam hubungan tetapi Datuk Yusof Haslam suka memujuk untuk mempertahankan rumah tangga.
Itulah salah satu tip perkahwinan yang dikongsikan pengarah dan penerbit terkenal selama melayari bahtera perkahwinan selama lebih empat dekad dengan isteri, Datin Patimah Ismail.
Yusof Haslam Bertahan Kerana Sikap Memujuk
Perkongsian tip dibuat memandangkan kes perceraian dalam kalangan artis tempatan semakin meningkat sehingga membuatkan Yusof atau nama lengkapnya Mohd. Yusof Md. Haslam Khan, 70, tidak menyangka perkara tersebut berlaku secara berturut-turut.
“Saya bukanlah sempurna tetapi rumah tangga saya bertahan kerana sifat memujuk dan nak pertahankan rumah tangga, alhamdulillah rumah tangga saya dah 41 tahun.
“Sebagai orang lama saya terkejut perceraian itu berlaku hari-hari. Semalam, Diana Danielle pula bila tahu mereka rujuk sebelum ini saya dan isteri gembira.
“Tetapi kita tidak tahu apa yang berlaku dalam rumah tangga mereka. Kita hanya pandang secara rambang,” katanya ketika ditemui pada malam gala filem Don Dukun, di sini, semalam.
Suami Isteri Kena Mainkan Peranan
Kongsinya lagi, setiap pasangan suami isteri harus memainkan peranan masing-masing bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga sehingga pulih.
“Krisis itu perkara biasa, tidak ada rumah tangga yang tenang. Sebagai ketua rumah tangga dan isteri, dua-dua perlu mainkan peranan. Tak boleh sebelah pihak saja tetapi harus dimulakan oleh pihak suami.
“Jangan anggap kita sempurna. Kalau ada fikiran begitu sampai bila tidak akan selesai.
“Tak boleh pentingkan diri, cari jalan terbaik untuk berdamai dan buang ego,” jelasnya.
Yusof juga lebih gemar memujuk isteri dengan ayat manis yang disifatkan lebih bermakna berbanding pemberian barang.
“Saya pujuk dengan kata-kata manis bukan dengan bagi bunga sebab tak pandai. Hadiah pun beri semasa hari jadi.
“Kata-kata dan perbuatan lebih bermakna bagi saya sebab kalau bagi bunga tetapi benda berlaku (cerai) tak guna juga,” tuturnya lagi.
Bukan Sempurna Tapi Satu Nasihat
Selain itu, Yusof menyangkal dakwaan melulu ramai isu kahwin dan cerai dalam kalangan artis adalah normal memandangkan perkara tersebut tetap dilalui semua orang.
“Saya kongsi bukan nak cakap saya sempurna dan perlu jadikan contoh tetapi ini nasihat saya sebagai orang tua berusia 70 tahun melalui proses perkahwinan.
“Benda ini bukan artis saja, di luar sana boleh dikatakan hampir setiap hari ada kes bercerai.
“Cuma, agak mengejutkan sayalah tahun ini kerana perkara ini berlaku berturut-turut. Itu hanya Allah saja yang tahu,” ujarnya.
Mei lalu, Yusof menyambut ulang tahun perkahwinan dengan Patimah yang ke-41 selepas mendirikan rumah tangga pada tahun 1982.
Hasil perkahwinan mereka dikurniakan empat anak iaitu Mohd Faizal, Syamsul Yusof, Nursyamin Yusof dan Syafiq Yusof.
Sekadar info, Yusof pernah mendirikan rumah tangga sebelum ini dengan penyanyi Allahyarham Raja Noor Saadah Salehuddin pada tahun 1978 sebelum bercerai pada tahun 1980.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.