SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Kerajaan digesa untuk mengembalikan 40 peratus hasil bersih Sabah berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta menjadikan negeri itu sebagai hub transit bagi pelancong dari China.
Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, mengenai 40 peratus hasil Sabah, masih terdapat beberapa perkara yang perlu dirunding untuk dimuktamadkan dalam memenuhi MA63.
“Antara perkara ingin saya cadangkan untuk berbincang dan dimuktamadkan dengan segera adalah isu berkaitan pengembalian 40 peratus hasil yang telah dikutip oleh kerajaan Pusat berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
“Pengembalian hasil 40 peratus tersebut juga merangkumi dengan tuntutan bayaran tunggakan, semasa dan bayaran akan datang.
“Saya berharap agar kerajaan melalui platform yang sedia ada dapat menimbangkan cadangan untuk melantik pentaksir bebas bagi mengenal pasti jumlah tepat dalam pengiraan tuntutan berkenaan,” katanya dalam perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Libaran berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang Undang Perbekalan 2025 tempoh hari.
Sebelum ini, kerajaan Sabah akan mengemukakan tuntutan secara rasmi kepada kerajaan Persekutuan bagi pengembalian 40 peratus hasil bersih negeri itu berdasarkan MA63.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, tuntutan tersebut akan dibawa ke Mesyuarat Kabinet negeri akan datang untuk disemak dan diluluskan sebelum dibawa ke kerajaan Persekutuan.
Dalam pada itu, mengenai cadangan menjadikan negeri berkenaan sebagai hub pelancongan dari China, Suhaimi Nasir yang juga Ahli Parlimen Libaran memaklumkan, ia kerana Sabah dilihat menerima bilangan kemasukan pelancong China yang agak tinggi pada tahun ini.
“Berdasarkan anggaran daripada media perdana, seramai 1.4 juta pelancong dari China telah melancong ke Malaysia setakat Julai 2024 dan daripada jumlah tersebut, dianggarkan sebanyak 270 ribu pelancong China telah melancong ke Sabah.
“Saya mencadangkan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) agar Sabah dijadikan sebagai hub pelancong China ke Malaysia. Saya berpandangan begini kerana tiket penerbangan contohnya dari Guangzhou, Taipei dan Hong Kong ke Sabah adalah jauh lebih murah berbanding ke Kuala Lumpur.
“Masa penerbangan yang diperlukan juga adalah lebih singkat,” ujarnya.
Suhaimi Nasir berpandangan, wajar sekiranya MOT dapat menambah laluan penerbangan ke Sabah kepada syarikat penerbangan terutama daripada syarikat penerbangan Asia Timur.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.