SHAH ALAM – Pemimpin Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diingatkan untuk merapatkan saf, memperkukuhkan perpaduan dan meneruskan perjuangan tidak kira menang atau kalah dalam pemilihan parti tersebut.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jawatan dimenangi itu merupakan suatu amanah dan tanggungjawab berat yang perlu digalas dengan penuh komitmen serta kesetiaan tinggi kepada perjuangan parti.
“Saya mengucapkan tahniah kepada semua barisan kepimpinan sayap Srikandi, Armada, Srikandi Muda dan Bersekutu yang telah terpilih dalam pemilihan Bersatu seperti yang telah diumumkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).
“Kepada yang tidak terpilih, terimalah keputusan ini dengan baik dan berlapang dada,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa.
Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham diumumkan sebagai Ketua Armada Bersatu bagi penggal 2024 hingga 2027.
Selain itu, Muhammad Faiz Rahmad dipilih sebagai Naib Ketua Armada dan Muhamad Amerul Muhamad dilantik menjadi Pengerusi Tetap sayap berkenaan serta dibantu Timbalannya, Mohd Firdaus Mohd Zaini.
Datuk Mas Ermieyati Samsudin dari Bahagian Masjid Tanah diumum sebagai Ketua Srikandi Malaysia selepas menang tanpa bertanding.
Jawatan Ketua Srikandi Muda pula dimenangi oleh Nurul Ezzati Azmi dari Bahagian Kapar, manakala naib ketua dimenangi Nabila Norsahar.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada JPP yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi kerana telah melaksanakan tugas mengendalikan pemilihan kepimpinan parti itu.
“Ia dilaksanakan secara bebas selaras dengan mandat yang diberikan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi,” ujarnya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.