ALOR SETAR – Pelan strategik The Greater Kedah 2050 merupakan kesinambungan daripada gabungan Pelan Pembangunan Kedah 2021-2035 serta prinsip Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua.
Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya berkata, gagasan besar berkenaan tidak terbentuk secara bersendirian, sebaliknya bermula dengan dasar dan polisi kerajaan negeri yang jelas.
Menurutnya, gagasan The Greater Kedah akan menjadi pemandu utama bagi memastikan kemajuan yang seimbang antara duniawi dan ukhrawi, selaras dengan usaha membina semula ketamadunan yang hebat dan dihormati bagi negeri ini.
“Pas Kedah juga yakin dasar Cordoba of Kedah yang memayungi pembangunan insani rakyat Kedah dalam pelbagai peringkat dapat dikembangkan dan diperkukuhkan seiring dengan kemajuan ekonomi dan sosioekonomi negeri,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena tegaskan, kehebatan tamadun dibina bukan sekadar dengan kemajuan infrastruktur atau data, ia juga merangkumi budaya cintakan ilmu yang tinggi dalam kalangan rakyatnya.
“Saya percaya kerangka perancangan The Greater Kedah 2050 merupakan suatu bentuk ‘the end of mind’ bagi melakar kemajuan negeri Kedah dan rakyat dalam dekad akan datang,” jelasnya.
Menurutnya, menerusi perancangan yang teliti dan sistematik, harapan untuk menjadikan Kedah sebagai ‘tempat orang miskin berteduh, tempat orang kaya berbakti’ dapat direalisasikan.
“Kami ingin mengajak seluruh rakyat Kedah agar bersatu mendukung gagasan besar The Greater Kedah ini agar ia menjadi realiti,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin menyifatkan Blue Print The Greater Kedah yang dilancarkan pada Ahad, hanya sebuah dokumen ciplak dan menunjukkan kerajaan negeri ketandusan idea.
Menurutnya, 90 peratus daripada penyata perancangan pembangunan didakwa diambil daripada perancangan berimpak tinggi Kerajaan Persekutuan ditunjangi UMNO dan Barisan Nasional (BN) dahulu.
Malah dakwanya, hampir keseluruhan daripada projek berimpak tinggi dinyatakan dalam dokumen blue print tersebut akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Pusat bukannya kerajaan negeri atau inisiatif State Government 4 (SG4).
Pada Ahad, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika melancarkan Blueprint atau rangka tindakan The Greater Kedah menegaskan, ia merupakan satu hala tuju untuk dicapai dalam tempoh menjelang 2050, ke arah membawa kesejahteraan kepada rakyat, mempromosikan pertumbuhan ekonomi dan melindungi kelestarian alam sekitar.
Menurutnya, The Greater Kedah merupakan sebuah gagasan besar meliputi seluruh aspek untuk generasi hari ini serta generasi akan datang.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.