ALOR SETAR – UMNO Kedah menyifatkan Blue Print The Greater Kedah dilancarkan pada Ahad hanya sebuah dokumen ciplak yang menunjukkan kerajaan negeri ketandusan idea.
Ketua Penerangan UMNO Negeri, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, 90 peratus daripada penyata perancangan pembangunan didakwa diambil daripada perancangan berimpak tinggi Kerajaan Persekutuan yang ditunjangi UMNO dan Barisan Nasional (BN) dahulu.
Katanya, UMNO Kedah melihat hampir keseluruhan daripada projek berimpak tinggi dinyatakan dalam dokumen blue print akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Pusat bukannya kerajaan negeri ataupun inisiatif State Goverment 4 (SG4).
“UMNO Kedah percaya ini adalah usaha-usaha terbaru menteri besar (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) dan barisan exco yang sedang cuba memperbaharui strategi ‘menjual mimpi’ dan harapan kepada rakyat negeri Kedah,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Menurutnya, Muhammad Sanusi seharusnya segera keluar daripada pendekatan politik murahan serta mula menjanjikan sesuatu yang nyata dan praktikal kepada rakyat.
“Dokumen Blue Print The Greater Kedah ini sudah hilang nilai dan tidak sama sekali membawa sebarang reputasi akibat kegagalan kerajaan negeri melunaskan janji-janji dan harapan yang telah disajikan kepada rakyat sebelum ini,” ujarnya.
Shaiful Hazizy berkata, beberapa kegagalan kerajaan negeri yang didakwa berlaku ketika ini sudah cukup menjelaskan kebimbangan rakyat.
“UMNO Kedah yakin Blue Print The Greater Kedah ini sudah pun kalah sebelum bertempur disebabkan reputasi pembohongan dan amalan menteri besar yang menjual mimpi dan harapan,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.