SHAH ALAM – Pas mengingatkan semua pihak untuk sentiasa meletakkan serta mengharmonikan kepelbagaian agama, kepercayaan serta budaya dalam rangka kerja negara bagi memastikan ia menjadi aset bersama dan bukannya racun membinasakan.
Menerusi ucapan sempena sambutan Deepavali pada Khamis ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut menarik perhatian terhadap mesej dan simbolisme perayaan tersebut yang selari dengan aspirasi rakyat tanpa mengira agama, kepercayaan atau latar belakang.
“Pas percaya gesaan supaya manusia sentiasa berpihak kepada kebenaran selain meningkatkan penghayatan terhadap nilai murni, luhur dalam kehidupan peribadi, keluarga serta masyarakat merupakan mesej universal dan abadi yang perlu digenggam serta diperbaharui pada setiap masa.
“Hanya dengan teras nilai dan moral yang luhur inilah manusia akan dapat merealisasikan sebuah kehidupan indah, harmoni, diberkati dan sejahtera sekali gus bebas daripada penderitaan, kezaliman dan keburukan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu turut mengingatkan mengenai perkembangan geo-politik dunia yang semakin terbuka dan mencabar hingga menyebabkan kepentingan negara diasak akibat pertimbangan politik, ekonomi, kaum, kelompok serta peribadi tertentu.
Tanpa langkah penyuraian konflik yang berkesan serta berhemah, beliau menegaskan, negara boleh kehilangan arah dan rakyat akan terus keliru tanpa jalan keluar.
“Lebih malang sekiranya ada dalam kalangan kita yang tanpa sedar menjadi ‘kuda Trojan’ kepada kepentingan, naratif dan cita-cita asing yang bukan sahaja akan menghakis, malah boleh menenggelamkan terus kepentingan dan aspirasi kebangsaan Malaysia.
“Sempena sambutan Hari Deepavali kali ini, Pas berharap semua pihak akan kembali berhukum kepada kebenaran dan keadilan, bukannya terbuai dengan emosi, sentimen, sikap berlebih-lebihan, bermuslihat dan melampau kerana sifat destruktif yang jelas,” ujarnya.
Dalam pada itu Takiyuddin turut menasihatkan semua pihak agar lebih berhati-hati terutama ketika berada di jalan raya bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu.
“Mudah-mudahan semua doa dan harapan baik yang mengiringi sambutan ini akan tertunai di samping menambah kepada mutu kehidupan kita bersama.
“Selamat bercuti dan selamat menyambut Hari Deepavali,” ujarnya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.