Hukum Buat Fake Review Sama Seperti Menipu, Haram & Kena Delete Posting

Dalam perniagaan secara online, review atau ulasan daripada pengguna sangatlah membantu meningkatkan jualan.
Namun malangnya atas dasar melariskan produk ada yang sanggup melakukan fake review termasuk oleh peniaga sendiri. Mereka memberi komen membeli dan berpuas hati dengan produk yang dibeli sedangkan mereka adalah peniaga barangan tersebut.
Dalam hal ini apakah hukum melakukan perbuatan tersebut? Mufti Pulau Pinang memberikan penjelasannya. Moga memberi panduan kepada peniaga online dan pembeli juga.
Penipuan dalam jual beli boleh berlaku dalam pelbagai bentuk dan antaranya penipuan yang telah dirancang oleh penjual itu sendiri kerana ingin melariskan produknya atau menarik perhatian bakal pembeli untuk mendapatkannya.
Para ulama fiqh menyebutkan bahawa perbuatan menipu sebegini disebut sebagai al-tadlis. Antara persamaan yang disifatkan pada cara penipuan tersebut adalah wujudnya unsur perancangan daripada penjual sendiri untuk menipu pelanggan dan mencipta persepsi bahawa barang dagangannya itu bagus, berkualiti dan sebagainya.
Selain itu, penipuan ini juga boleh membawa kepada satu amalan jual beli yang diharamkan syarak iaitu al-Najsh (النجش). Al-Najsh ialah orang yang sengaja menawarkan harga belian yang tinggi sedangkan dia tidak berniat membelinya. Tujuannya supaya orang lain merasakan barangan tersebut bernilai tinggi dan mereka akan membelinya dengan harga yang lebih mahal. [Rujuk al-Mu’tamad fi Fiqh al-Shafi’i jil. 3 hlm. 61].
Ia juga sejajar dengan larangan daripada Nabi SAW:
نَهَى النَّبِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ النَّجْشِ
Maksudnya: “Nabi SAW melarang najsh.” (Jika jual beli tersebut berlangsung, ia tetap sah). [Riwayat al-Bukhari 2035 dan Muslim 1516]
Sama seperti menipu, haram dan dilarang
Sehubungan dengan itu, perbuatan ulasan palsu (fake review) ini adalah sama seperti menipu pelanggan yang boleh disertakan juga penyembunyian kecacatan dan keaiban pada barang jualan oleh penjual. Maka perbuatan tersebut termasuk dalam al-Ghish atau al-Najsh yang dilarang dalam syarak.
Berdasarkan daripada keterangan di atas, kami menyimpulkan bahawa perbuatan ulasan palsu (fake review) adalah perbuatan yang haram dan dilarang dan sesiapa yang melakukannya wajib bertaubat kepada Allah.
Pelaku yang telah melakukan perkara sedemikian perlulah memadam ulasan tersebut atau memaklumkan kepada para pelanggan di platform jualan tersebut bahawa beberapa ulasan adalah palsu yang ditulis oleh dirinya sendiri.
Berlaku jujur untuk bertaubat mungkin akan menyebabkan kerugian sementara pada rekod jualan, tetapi lebih baik kerugian yang sedikit di dunia berbanding azab yang lama di akhirat.
Sumber: Mufti Pulau Pinang

Posted

in

by

Comments

Leave a Reply