Ketika di tempat kerja tak semua mampu fokus dan melakukan pekerjaan secara penuh dalam tempoh 8-9 jam bekerja. Mungkin ada yang berehat minum kopi setika untuk menghilang stres atau tidur sebentar, berbual dan sebagainya selepas selesai tugas.
Dalam keadaan ini adakah ia dibolehkan dan jika tidak, bagaimana pula cara untuk menyucikan wang gaji yang diperoleh.
Persoalan di atas sebenarnya diajukan oleh seorang netizen kepada bekas menteri agama Datuk Dr Zulkifli Mohamed Al Bakri kerana kerisauan tentang keberkatan wang gaji yang diterima
Berikut adalah jawapan yang diberikan oleh beliau sebagai pengajaran dan panduan untuk kita yang mungkin pernah melakukannya.
Kami mulakan dengan hadith daripada Aisyah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang.”
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (275) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4929), (4930) dan (4931).
Al-Munawi berkata: ‘إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ’ (apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang), yakni dia menyempurnakannya. (Lihat Faidh al-Qadir, 2/286) Al-San’ani berkata: Yakni, dia melakukan sesuatu dalam bentuk dan keadaannya yang paling sempurna. (Lihat al-Tanwir Syarh al-Jami’ al-Saghir, 2/148)
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dalam bekerja kita sewajarnya amanah dengan tanggungjawab yang telah diberikan. Namun, dalam isu ini, ia perlu dilihat dari sudut tatatertib dalam sesebuah tempat dan jenis pekerjaan.
Sekiranya tugasnya untuk menjadi pengawal keselamatan, maka tidak wajar untuknya tidur walhal tugasnya untuk menjaga keselamatan. Oleh itu, dalam soal sudah selesai tugas yang diberikan, kami berpendapat sebaiknya elakkanlah untuk tidur ketika bekerja kerana ia boleh mengakibatkan orang awam memandang rendah terhadap syarikat tersebut.
Misalnya apabila tetamu melihat kerani/pekerja sedang nyenyak tidur, maka sudah tentu ia menjadi aib kepada syarikat. Namun, sekiranya ia diberi kebenaran oleh majikan untuk tidur sebentar, maka ia dibolehkan.
Justeru itu, kami nyatakan di sini bahawa dalam bekerja, jalankanlah amanah yang diberikan dengan sebaiknya. Hal ini kerana dengan bersikap amanah, jujur, bertanggungjawab dan menjaga adab sesama rakan sekerja dan seumpamanya, ia akan menjadikan suasana di tempat kerja lebih harmoni tanpa ada pertelingkahan di antara rakan sekerja.
Kami akhiri dengan sabda Rasulullah SAW:
مَا كَسَبَ الرَّجُلُ كَسْبًا أَطْيَبَ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ، وَمَا أَنْفَقَ الرَّجُلُ عَلَى نَفْسِهِ وَأَهْلِهِ وَوَلَدِهِ وَخَادِمِهِ فَهُوَ صَدَقَةٌ
Maksudnya: “Tiada seorang pun yang memperoleh pendapatan yang lebih baik daripada jerih payah tangannya sendiri. Dan tidaklah seseorang itu memberi nafkah kepada dirinya, isterinya, anak-anaknya dan hamba-hambanya melainkan ia dikira sebagai sedekah.”
Riwayat Ibn Majah (2138) dan Ahmad (17190). Dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih al-Jami’ (5660)
Sumber: Maktabah Al Bakri
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.