Sekarang perkara-perkara pelik sedang terjadi – Hassan Karim

Puisi lapan rangkap bertajuk ‘Aku Kembali Menyoal Diri’ yang dimuat naik Hassan di akaun Facebook miliknya.

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim kembali menarik perhatian apabila memuat naik puisi di Facebook miliknya yang mempersoalkan arah tuju sebenar perjuangan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Puisi lapan rangkap bertajuk ‘Aku Kembali Menyoal Diri’ itu seolah-olah mencerminkan kekecewaanya dengan situasi yang berlaku ketika ini.

“Di tengah-tengah usaha mengekal kekuasaan, tiba-tiba banyak perkara bisa dihalalkan, yang rasuah dilepaskan, kemaafan si kleptokrat dialu-alukan.

“Oh tanah airku, ada diskaun dan potong harga rupanya, dalam hukuman golongan kayangan,” tulisnya dalam puisi tersebut.

Hassan turut mempersoalkan diri tentang perjuangan parti setelah melihat banyak perkara yang bertentangan.

Malah bekas Pengerusi PKR Johor itu turut mengakui perjuangan asal yang dianggap mulia selama ini telah hilang.

“Aku kembali menyoal diri, ke arah mana perginya perjuangan ini, telah hilang segala roh, telah lenyap cita-cita murni. Sekarang perkara-perkara pelik sedang terjadi.

“Kemudian akan ada tidak lama lagi, RUU tahanan rumah akan dibentangkan di Parlimen, tempat kedaulatan undang-undang dimahkotakan,” katanya ringkas dalam puisi tersebut.

Hassan merupakan wakil rakyat PKR yang dikenali dengan kelantangannya mengkritik beberapa keputusan kerajaan sebelum ini.

Terbaharu ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat minggu lalu, beliau menegaskan tiada keperluan untuk menjual saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) yang dikawal BlackRock Inc.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply