Tekad Ubah Nasib Keluarga, Anak Pengawal Keselamatan Terima Anugerah Diraja. Turut Raih Dua Anugerah Berprestij Yang Lain. Tahniah!

Dengan harapan mengubah nasib keluarganya, Lok Mee Wan, seorang anak pengawal keselamatan, telah berjaya menerima Anugerah Diraja dalam sidang pertama Majlis Konvokesyen Kali Ke-16 Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), baru-baru ini.

Mee Wan, 22, yang merupakan graduan Diploma Pengurusan Pelancongan dari Kamunting, Perak, turut dianugerahkan Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum serta Anugerah Pengarah.Majlis konvokesyen tersebut dihadiri oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

ARTIKEL BERKAITAN: Putera Sulung Aidid Marcello & Norzie Pak Wan Chek Kini Bergelar Hafiz Al-Quran -“Hebat Hasil Didikan Seorang Ayah & Ibu..”

Sumber: Bernama

Bapa tercintanya, Lok Tart Chon, 59, seorang pengawal keselamatan, dan ibunya pula, S Kanagawaly, 64, menjadi pendorong utama dalam kejayaannya.

“Pengajian dalam bidang ini ada enam semester dan semua semester saya dapat keputusan pointer dekan. Saya juga mempunyai tekad sendiri untuk berjaya dalam hidup,” katanya.

Sebagai anak kedua daripada dua beradik dan fasih dalam empat bahasa, Melayu, Tamil, Mandarin, dan Inggeris, Mee Wan menyatakan minat mendalamnya dalam pelancongan serta media dan komunikasi. Dia juga bercita-cita untuk menjadi wartawan penyiaran atau penyampai berita pada masa depan.

“Walaupun saya belajar dalam bidang pelancongan di PTSS tetapi di sini tiada had atau tak menghalang pelajar menceburkan diri dalam bidang lain yang mana saya pernah menjadi Penerbit Berita bagi Kelab Berita Poli TV News di PTSS selama tiga semester,” tambahnya.

Sumber: Sinar Harian

Kini bekerja sebagai Guest Service Experience di sebuah hotel mewah di Langkawi, Mee Wan telah mencapai kejayaan dalam bidang media dan komunikasi. Graduan ini meraih gelaran juara untuk pertandingan English Newscasting Online di BudiDarma English Festival 2021 (BUDAEFEST) yang melibatkan penyertaan dari Malaysia, Indonesia, dan Thailand.

“Saya memang minat menonton berita dan membaca surat khabar sejak kecil lagi. Saya juga mendapat tempat kedua dalam Ikon Siarawan bagi dua tahun berturut-turut pada 2021 dan 2022,” ujarnya.

Mee Wan yang kini menjalankan perniagaan kecil-kecilan mengait benang, optimis bahawa kemahiran yang dikuasainya dalam bidang pelancongan serta media dan komunikasi akan membantunya menghadapi cabaran masa depan.

Untuk info, Majlis konvokesyen itu disempurnakan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra yang mewakili Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. Sebanyak tiga sidang berlangsung dari Ahad hingga Selasa, meraikan 1,155 graduan lulusan diploma, asasi, dan sijil dalam pelbagai jurusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi tahun lepas dan tahun ini.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: Sinar Bestari

Comments

Leave a Reply