Dari Anak Seni Ke Bidang Profesional! WARDINA SAFIYYAH Gembira Galas Tanggungjawab Sebagai Sukarelawan & Ahli Psikologi

Suatu ketika dahulu, nama pelakon Wardina Safiyyah cukup dikenali dalam industri seni lakonan tanah air. Paling diingati adalah lakonannya sebagai Misha dalam siri komedi Spanar Jaya. Bekas peserta pertandingan Dewi Remaja 1997/98 ini juga turut aktif dalam bidang modeling dan pengacaraan, malah pernah membintangi beberapa buah filem.

Dan ketika namanya berada di puncak dan kemudiannya berkeluarga, Wardina memutuskan untuk berhijrah ke Australia membawa diri dan menyambung pelajaran pada tahun 2014. Sejak daripada itu nama Wardina dilihat jarang menghiasi dada akhbar mahupun media cetak dan elektronik, walaupun aktif di media sosial.

Dulu Anak Seni, Kini Ahli Prefesional Australia!

Kini meniti usia 45 tahun, pemilik nama Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot yang juga ibu kepada tiga orang cahaya mata ini tetap kelihatan anggun dan terserlah kejelitaannya. Wardina juga dikhabarkan aktif menjalani kehidupan sebagai seorang ahli profesional di sana.

“Alhamdulillah saya kini bertugas sebagai seorang ahli psikologi berdaftar di sebuah pusat kesihatan di Brisbane membantu pesakit-pesakit yang mengalami masalah mental termasuklah kanak-kanak autistik.

“Di samping itu, saya juga aktif dalam aktiviti sukarelawan sebagai seorang petugas sokongan krisis (crisis support worker) bersama LifeLine di mana saya memberikan sokongan kepada mereka yang mengalami krisis emosi seperti kemahuan untuk menamatkan kehidupan dan lain-lain isu secara atas talian. Its my dream job,” ujar Wardina kepada Nona.

Menurut Wardina lagi, kerjaya sebagai seorang ahli profesional cukup memberikan kepuasan buatnya.

“Saya banyak menghabiskan masa meningkatkan diri dengan ilmu di samping menyambung pengajian post graduate dalam bidang pengajian autistik memandangkan saya banyak menghabiskan masa bersama-sama dengan kanak-kanak autistik.”

“Jujurnya, Saya Tak Rindukan Bidang Lakonan Langsung..” – Wardina 

Walaupun pernah bergelar anak seni, Wardina mengakui kerap kali ditanya sama ada dirinya rindu untuk kembali beraksi di hadapan kamera namun jelasnya dia tidak terfikir langsung untuk kembali berlakon.

“Honestly I don’t miss acting at all. Bidang seni adalah satu pengalaman hidup di mana babaknya sudah lama ditutup dan disimpan jauh buat selama-lamanya. Ia merupakan satu fasa hidup yang dah lama berlalu, namun saya hargai setiap satu momen yang mengajar saya untuk menjadi insan yang lebih baik.”

“Saya happy di sini bila tak ada siapa yang kenal kita. I live quite a simple and comfortable life here with my family. Ada yang bertanya bila mahu pulang ke Malaysia. For now, masih belum ada perancangan untuk kembali ke Malaysia. Lagipun suami pun bekerja di sini, he’s an architect. Anak-anak pun dah selesa. Do I miss Malaysia? Of course, Malaysia negara kelahiran saya. Tapi kita tak pernah tahu perancangan Tuhan kan? We’ll see..” ulas Wardina lagi.

Kini bahagia menetap di Brisbane dan memasuki tahun kelapan hidup di Australia, Wardina juga bersyukur anak-anaknya mudah menyesuaikan diri di tempat orang.

“Australia negara yang cukup bebas dan terbuka namun syukur anak-anak masih mampu mengawal diri, malah saya dan suami selalu tanamkan perasaan cintakan agama dan Islam.

“Malah mereka juga sangat berbangga dengan asal usul dan identiti mereka sebagai seorang Muslim serta tidak mengagungkan orang barat. Alhamdulillah, mereka anak-anak yang baik dan mudah dibentuk,” ujar Wardina.

Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini. Follow kami sekarang di SINI!


Posted

in

,

by

Comments

Leave a Reply