Keputusan pemilihan Armada Bersatu dijangka diketahui esok

Pada Ahad, keputusan tidak rasmi bagi jawatan Ketua Armada Bersatu Malaysia memihak kepada Akmal Zahin.

PETALING JAYA – Keputusan penuh jawatankuasa Armada Bersatu Malaysia dijangka diumumkan pada Selasa.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata, pihaknya sedang meneliti beberapa aduan dan bantahan sebelum keputusan akhir dimuktamadkan.

“Insya-ALLAH kita akan umumkan Selasa atau secepat mungkin.

“Disebabkan pemilihan selesai Sabtu lalu, jadi kita fokus kepada keputusan Srikandi dan Srikandi Muda dahulu, kemudian akan disusuli dengan Armada pula,” katanya pada Pengumuman Keputusan Pemilihan Srikandi dan Srikandi Muda Bersatu di ibu pejabat parti itu pada Isnin.

Pada Ahad, keputusan tidak rasmi membabitkan pertembungan satu lawan satu bagi jawatan Ketua Armada Bersatu Malaysia memihak kepada Akmal Zahin Zainal Zahir.

Menerusi kenyataan pusat pengiraan undi sayap memaklumkan, Akmal Zahin memperolehi 2,432 undi mendahului pesaingnya, Muhammad Hilman Idham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia dengan 2,356 undi.

Abdul Azim bagaimanapun enggan mengulas lanjut berkenaan spekulasi kemenangan tersebut.

“Kita cakap berkenaan Srikandi dan Srikandi Muda dulu, Armada kita tunggu dulu,” katanya.

Difahamkan, JPP Bersatu menerima bantahan membabitkan tatacara dan prosedur pemilihan selain dakwaan perwakilan tidak sah.

Calon boleh membuat bantahan itu yang tamat tempoh pada Isnin dan berhak membuat rayuan keputusan ke Lembaga Rayuan sekiranya tidak berpuas hati dengan pengumuman keputusan JPP yang akan diumum kelak.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply