LAZIMNYA apabila bercuti bersama keluarga, kita akan menyewa bilik hotel atau sebuah inap desa yang sama.
Adakalanya penginapan disewa itu ‘terlebih muatan’ hinggakan ada yang terpaksa tidur di ruang tamu atau berhimpit-himpit di dalam satu bilik.
Ia sehinggakan ada anak lelaki yang sudah dewasa tidur bersebelahan ibunya sendiri di atas sebuah katil atau tilam.
Apakah pandangan Islam tentang perkara itu?
Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, langkah paling baik adalah dengan menyewa bilik berasingan bagi anak lelaki dewasa dengan ibunya.
Dalam ayat ke-58 dan 59 surah an-Nur, katanya, ALLAH SWT menyuruh anak sudah baligh supaya meminta izin daripada ibu bapa terlebih dahulu dalam semua keadaan sebelum memasuki bilik orang tua mereka.
“Imam Ibnu Kathir mengatakan, apabila kanak-kanak telah baligh, maka wajib ke atas mereka meminta izin pada semua keadaan iaitu waktu yang mungkin seseorang itu sedang bersama isterinya.
“Ini kerana dikhuatiri anak itu terlihat aurat mereka,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel #3282: Bermalam sebilik dengan ibu kandung di hotel yang disiarkan di laman web Maktabah Albakri pada Sabtu.
Daripada ‘Ata’ bin Yasar RA bahawa seorang lelaki datang dan bertanyakan kepada Rasulullah SAW: “‘Wahai Rasulullah, adakah aku perlu minta izin kepada ibuku (sebelum masuk ke tempatnya)?’ Baginda menjawab: ‘Ya’. Lelaki tersebut berkata: ‘Aku tinggal bersamanya di rumah’. Lalu Rasulullah SAW menjawab: ‘Mintalah izin kepada dia’. Lelaki tersebut berkata lagi: ‘Aku berkhidmat untuknya’. Lalu Baginda SAW bersabda: ‘Mintalah izin kepada dia, adakah kamu suka melihatnya tidak berpakaian?’ Lelaki tersebut menjawab: ‘Tidak’. Baginda bersabda: ‘Maka mintalah izin kepada dia’.” (Hadis Riwayat Malik, Ibnu Abi Syaibah dan Abu Daud)
Bahkan, ujar agamawan itu, majoriti fuqaha berpandangan, wajib kepada bapa atau wali untuk memisahkan tempat tidur anak-anak ketika berumur 10 tahun waima anak itu sama jantina atau lelaki dan perempuan, mahupun antara anak serta ibu bapanya.
Bagaimanapun, seandainya anak lelaki dewasa dan ibu kandungnya tadi tidak mampu untuk menyewa bilik secara berasingan, Dr Zulkifli menasihatkan mereka agar mengusahakan untuk dipisahkan iaitu dengan tidak tidur di atas katil yang sama.
“Anak tersebut perlu mendahulukan ibunya untuk tidur di atas katil, sementara dia pula di atas lantai atau meletakkan pemisah seperti bantal di antara anak dengan ibu atau apa-apa sahaja yang sesuai,” katanya.
Ia bertepatan dengan firman-NYA menerusi ayat ke-16 dalam surah at-Taghabun: “Oleh itu bertakwalah kamu kepada ALLAH sedaya upaya kamu.”
Pada masa sama, beliau menjelaskan, cara itu juga bagi mengelakkan daripada berlakunya perkara tidak diingini, di samping menolak tohmahan masyarakat sekeliling.
“Ia berdasarkan kedah yang menekankan seorang Muslim itu agar menghindari diri daripada terjebak dalam sebarang perkara yang boleh menyebabkan dirinya ditohmah dan dicela,” tulisnya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.