Merokok haram, bercanggah dengan prinsip Maqasid Syariah

WALAUPUN umat Islam maklum mengenai pengharaman merokok, namun masih yang melakukannya. Foto CANVA

WALAUPUN perbuatan merokok sudah dihukumkan sebagai haram oleh para ulama, sebahagian daripada umat Islam masih ramai lagi yang melakukannya.

Menurut mereka yang masih lagi merokok, terdapat khilaf dalam isu merokok ini dengan berpegang hukum makruh berbanding sebahagian besar ulama yang menyatakan ia haram.

Musyrif Pondok Sungai Durian, Datuk Dr Abdul Basit Abdul Rahman menjelaskan, fatwa semasa mengenai hukum merokok menjurus kepada haram berdasarkan kepada beberapa fatwa dikeluarkan mufti dan ulama.

DR ABDUL BASIT

Antara fatwa yang mengharamkan perbuatan merokok:

1 – Kerajaan Arab Saudi – merokok, menanam tembakau dan memperniagakannya adalah haram kerana terdapat kemudaratan.

2 – Ulama-ulama semasa seperti Dr Abdul Jalil Shalabi – merokok adalah haram kerana mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan masyarakat.

3 – Dr Zakaria Al-Bari (anggota Akademi Kajian Islam dan Anggota Lajnah Fatwa Al-Azhar) – merokok hukumnya haram adalah pendapat yang kuat.

4 – Syeikh Abdul Halim Mahmud dalam kitabnya – merokok hukumnya makruh jika ia tidak mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan. Sebaliknya haram jika ia mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan.

5. Bekas Mufti Kerajaan Mesir, Syeikh Hasanain Makhluf – haram jika mendatangkan mafsadah (keburukan) kesihatan dan mengurangkan hak keluarga dari segi pengurangan nafkah kepada keluarganya. Makruh jika mafsadah itu tidak ketara atau tidak mengurangkan hak nafkah keluarga.

6. Ulama terkenal masa kini Dr Yusof Qaradhawi – merokok adalah haram di sisi Islam.

7. Di Malaysia, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37 yang berlangsung pada 23 Mac 1995 – amalan merokok itu adalah haram menurut pandangan Islam.

8. Fatwa Negeri Selangor Darul Ehsan yang diwartakan pada 7 Disember 1995 di bawah Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989 – amalan menghisap apa jua jenis rokok adalah haram bagi mana-mana orang Islam.

9. Fatwa Negeri Perlis – menanam tembakau atau merokok dan memanfaatkan hasil tembakau adalah haram.

10. Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah – merokok adalah haram berdasarkan pendapat pengamal perubatan bahawa perbuatan merokok boleh mendatangkan mudarat.

PELBAGAI kemudaratan terhadap kesihatan berlaku selepas menghisap rokok dalam jangka masa yang panjang. Foto CANVA

11. Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka juga telah bersetuju menerima pakai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia Kali Ke-37 – amalan merokok itu hukumnya adalah haram.

Menurut Dr Abdul Basit yang juga dikenali dengan Abu Anas Madani, melihat kepada senarai berkenaan, merokok sudah difatwakan haram oleh majlis ulama di Malaysia sebelum tahun 2000 lagi.

“Fatwa ini hanya diwartakan beberapa tahun kemudian, mungkin mereka ingin memberi peluang kepada syarikat rokok untuk lebih bersedia menangani kesan daripada fatwa ini.

“Namun apa yang jelas sama ada ia diwartakan atau tidak, bilangan mereka yang merokok terus meningkat,” katanya seperti disiarkan dalam laman web abuanasmadani.com.

Tambah beliau, antara sebab pengharaman merokok adalah seperti berikut:

1 – Ada kaitan dengan arak.

Berdasarkan satu kajian, sebelum terjadinya rokok, tembakau akan diperam dengan perahan anggur atau epal. Dalam keadaan ini, perahan ini sebenarnya merupakan antara ciri-ciri arak.

Dalam keadaan inilah dapat dikatakan rokok ini sebenarnya berasal dari tembakau yang telah diperam bersama perahan arak yang telah diharamkan oleh ALLAH SWT.

2 – Rokok membunuh.

Sememangnya diketahui, rokok merupakan antara alat untuk membunuh manusia secara perlahan. Semuanya berpunca dari kemudaratan merokok.

Memudaratkan diri sendiri merupakan perkara yang diharamkan oleh ALLAH berdasarkan firman-NYA:

“Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan baikilah perbuatan kamu. Sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (Surah al-Baqarah: 195)

Begitu juga, rokok tidak sekadar memberi mudarat kepada diri perokok sahaja, bahkan rokok dapat memberi mudarat kepada orang sekeliling yang tidak merokok juga.

3 – Rokok adalah perkara buruk.

ALLAH SWT berfirman dalam ayat ke-157 surah al-A’raf bahawa DIA menghalalkan kepada manusia segala perkara yang baik dan mengharamkan perkara yang buruk (tidak baik).

4 – Merokok suatu pembaziran.

Tiada kebaikan yang didapati melainkan keseronokan yang tidak memberi faedah kepada diri di samping memberi kesan mudarat kepada kesihatan.

Ekoran itu, dengan menghisap rokok akan menyebabkan perokok akan melakukan pembaziran yang diharamkan oleh ALLAH SWT sebagaimana firman-NYA dalam ayat ke-27 surah al-Isra’:

“Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

Pengharaman sikap membazir ini tidak dikhususkan kepada sesiapa pun sama ada dia kaya atau miskin.

5 – Merokok menghasilkan bau busuk.

Rasulullah SAW melarang memakan bawang dan ulama menjelaskan hukumnya makruh disebabkan baunya yang busuk.

Maka berdasarkan qias awla, larangan menghisap rokok yang baunya lebih busuk daripada bau bawang adalah lebih-lebih lagi.

Merokok melanggar 5 prinsip Maqasid Syariah

Menurut Dr Abdul Basit, syariah Islam diturunkan ALLAH SWT untuk memberikan kebaikan dan kemaslahatan kepada manusia.

“Objektif atau maqasid syariah adalah untuk menjaga kepentingan dan keperluan manusia di dunia serta akhirat.

“Syariah Islam dibina dengan asas untuk membawa kebaikan dan menolak keburukan (Jalb al-masalih wa dar al-mafasid),” jelasnya.

MENGAMALKAN gaya hidup yang sihat dapat membantu seseorang perokok berhenti merokok. Foto CANVA

Tambahnya lagi, masalah yang menjadi tujuan syariat ini merangkumi lima perkara iaitu menjaga agama, nyawa atau jiwa, akal, keturunan termasuk maruah dan harta.

“Penjagaan dan pemeliharaan terhadap lima perkara ini merupakan satu aspek yang sangat penting dalam penentuan syariat Islam.

“Ini menunjukkan bahawa penjagaan terhadapnya merupakan satu cara dan juga sebagai suatu alat untuk menghasilkan satu tujuan terpenting dalam kehidupan manusia iaitu mengabdikan diri yang sebenarnya terhadap ALLAH SWT semata-mata.

“Maka sudah jelas dan terang sekali bahawa perbuatan merokok bercanggah dan bertentangan dengan ajaran Islam dan maqasid al-syariah iaitu menjaga lima perkara: agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda,” hurainya.

Ini kerana katanya, merokok secara kesimpulannya menyebabkan perkara-perkara berikut:

1- Menjejaskan akal/mental.

2- Membahayakan kesihatan fizikal.

3- Membahayakan keselamatan diri dan orang lain.

4- Membahayakan keturunan.

5- Mengganggu manusia lain.

6- Menimbulkan akhlak buruk.

7- Mensia-siakan waktu hidup.

8- Bercanggah dengan maruah Islam.

9- Membazirkan harta (wang).

10- Menimbulkan permusuhan di antara manusia.

Sebagai kesimpulannya, perbuatan menghisap rokok juga seolah-olah sengaja menempah maut namun manusia tetap juga melakukannya.

“Ia ibarat membunuh diri sendiri dan tiada manfaatnya.

“Secara mudah kita semua boleh melihat kesan merokok ini dari dua aspek iaitu pembaziran dan merosakkan anggota tubuh terutamanya paru-paru,” jelas Dr Abdul Basit.

Jelasnya lagi, setiap dosa walaupun kecil, jika dilakukan berulang kali akan menjadikan pelakunya kepada fasik.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply