Jika Bercuti Ke Pulau Jeju, 5 Destinasi Menarik & Cantik Semula Jadi Wajib Pergi

Meski jauhnya beribu kilometer dari Malaysia namun Pulau Jeju di Korea Selatan ini mungkin tidak asing terutama bagi yang meminati K Drama. Welcome To Samdari, Extra Attorney Woo, Running Man, Our Blues dan banyak lagi K Drama popular yang berlatar belakangkan Pulau Jeju.

Dan sebagaimana indahnya tempat ini dalam drama begitulah juga Jeju yang sewaktu menyambut kedatangan kami. Libur berkesempatan meneroka pulau indah ini di awal musim luruh pertengahan Oktober lalu atas jemputan Scoot Airline, syarikat penerbangan tambang murah dari Singapura dan Jeju Tourism Organization.

Dalam tempoh tiga hari meneroka pulau ini banyak lokasi dengan panorama cantik terhidang di hadapan mata. Namun berikut adalah lokasi pilihan Libur buat mereka yang merancang bercuti ke Jeju terutama yang memburu pesona keindahan alam semula jadi.

1. Seongsun Sunrise Peak

Lokasi ini adalah salah satu destinasi pelancongan yang menarik jutaan pengunjung ke Jeju. Kemuncaknya yang terletak 180 meter dari aras laut juga merupakan kawah yang terhasil dari letusan gunung berapi, menjadikan ia cukup unik.

Seongsan Sunrise Peak ini menawarkan keindahan yang cukup luar biasa dari atas. Kepenatan mendaki tangga pasti hilang sebaik melihat gabungan keindahan pemandangan laut, hamparan hijau kawah yang cukup mempersona bersama tiupan angin sejuk yang nyaman sekali. Kaki pasti terpaku seketika melihat keindahan ciptaan Tuhan ini.

 

Sebenarnya terdapat dua cara untuk meneroka Seongsun Sunrise Peak ini, selain mendaki ke puncak boleh juga menyusuri laluan pantai yang turut menawarkan pemandangan laut, Pulau Udo dari kejauhan serta kehijauan tanah tinggi cukup cantik hingga berat kaki untuk melangkah pulang.

Tip: Pastikan anda mengenakan pakaian yang sesuai untuk mendaki pada masa yang sama menarik untuk merakam foto. Sumpah cantik tempat ni!

2. Saryeoni Forest

Memasuki laluan khas yang dibina untuk meneroka Saryeoni Forest mata terus terpesona dengan aturan pokok ditanam cantik oleh manusia. Ya, hutan ini adalah salah satu ‘man made forest’ yang mana pokoknya mula ditanam sejak lebih 40 tahun lalu.

Asalnya dari tanah kosong, hutan yang kini dihuni pokok besar dari jenis oak, cedar, Snowbell dan beberapa lagi jenis pokok kini menjadi lokasi keluarga beriadah selain ‘photoshoot’ pengantin. Saryeoni Forest juga cukup popular kalangan pelancong menggemari aktiviti jungle trekking.

 

Tip: Hutan ini menyediakan laluan khas untuk memudahkan kita meneroka hutan, ambillah masa untuk menghayati suasana kedamaian dan bunyi alam semula jadi. Pilih datang hari bekerja ke sini untuk mengelakkan ‘kesesakan’ pengunjung selain mudah berfoto.

3. Saebyeol Oreum

Terletak di bahagian Selatan Pulau Jeju, ‘gunung kecil’ yang terhasil dari letusan volcanic cukup indah sekali kejadiannya. Ia salah satu destinasi yang perlu dikunjungi untuk menyaksikan panorama sekitar pulau Jeju dari ketinggian 520 meter.

Menaiki tangga semula jadi sambil berpaut pada tali untuk menjejaki kemuncak Saebyeol Oreum, anda akan menyaksikan hamparan eulalia yang memutih memenuhi tanah tinggi ini dari bawah hingga ke puncak. Satu latar belakang foto yang cukup cantik untuk dirakam.

Tip: Destinasi untuk yang gemarkan aktiviti hiking sambil menikmati keindahan pulau Jeju dari puncak. Pendakian mengambil masa lebih kurang 40 minit saja secara santai. Pastikan memakai kasut yang bersesuaian.

4. Sinchang Windmill Coastal Road

Jeju juga terkenal dengan kincir angin. Terdapat ratusan alat ini sekitar pulau terbesar di Korea Selatan ini. Berfungsi untuk membekalkan tenaga elektrik untuk pulau Jeju, salah satu lokasi terbaik untuk menyaksikan ‘mesin’ gergasi ini adalah di Sinchang Windmill Coastal Road.

Jalan yang terletak di tepian pantai ini terdapat deretan kincir angin boleh dilihat dari dekat sekaligus menjadikan sebagai tempat tumpuan pelancong bukan saja dari luar negara malah dari dalam Korea Selatan sendiri.

Tip: Jangan lupa singgah juga menikmati kopi panas di kafe sekitar persisiran pantai ini yang turut menyajikan pemandangan indah.

5. Gimnyeong Haenyeo Village

Sambil meneroka keindahan semula jadi Jeju, menarik juga untuk mengenali salah satu kebanggaan Jeju iaitu adalah penyelam wanita atau dikenali sebagai Haenyeo.

Di perkampungan ini anda dapat menyaksikan sendiri rutin serta persiapan haeneyo sebelum menyelam hinggalah selesai selaman. Meski masih ada namun populasi Haenyo semakin berkurang kerana golongan muda tidak berminat terlibat dalam kerjaya ini. Haenyeo paling muda yang ada ketika ini sudahpun berusia 62 tahun.

Dua orang penyelam wanita atau Haenyeo menunjukkan rutin yang dilakukan sebelum dan selepas menyelam.

Tip: Selain Gimnyeong Haenyeo Village, terdapat juga Muzium Haenyeo yang membolehkan pengunjung melihat lebih terperinci kehidupan dan tradisi penyelam wanita ini.

Jangan lupa ke sini juga

Selain daripada lima destinasi di atas, anda yang bakal ke Pulau Jeju boleh juga singgah di beberapa destinasi kunjungan kami yang tak kurang berbaloi keunikannya.

Ladang Teh Hijau O’sulloc & Innisfree

Sambil menikmati suasana hijau ladang teh hijau, pengunjung juga boleh berehat di kafe yang ada di sini selain membeli belah produk berasaskan teh hijau.

Myeongwol Elementary School

Nama saja sekolah tadika tapi ia sebenarnya adalah sebuah kafe. Selepas sekolah ini ditutup, ia tukar menjadi kafe dan masih mengekal ciri-ciri sekolah tadika.

Camellia Village

Perkampungan ini dipenuhi dengan pokok camellia yang dijadikan salah satu ramuan untuk produk kecantikan serta kesihatan. Kami dibawa melakukan aktiviti mencari biji benih hinggalah melihat penyediaan minyak camellia. Perkampungan ini menjadi tumpuan pelancongan terutama apabila pokok camelia ini mengeluarkan bunganya.

Scene of Jeju

Kami juga berpeluang melakukan akvititi mewarna pakaian atau dye menggunakan Gardenia seed, salah satu tumbuhan yang ada di Jeju. Ia antara idea buah tangan yang menarik untuk dibawa pulang.

 


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply