‘Cukuplah, sudah muak dan bosan’ – Akmal Saleh

Muhamad Akmal

SHAH ALAM – Kerajaan dan pihak berkuasa perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap penganjur Sambutan Guan Gong Sedunia yang melibatkan warga China mengibar bendera negara tersebut di Menara Condong, Teluk Intan, Perak.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh berkata, permohonan maaf tidak lagi boleh diterima jika kesalahan sedemikian dilakukan berulang kali.

Menurutnya, peristiwa itu bukan kali pertama berlaku selepas insiden sama terjadi di sekolah persendirian Cina di Pulau Pinang baru-baru ini.

“Hari ini seluruh pergerakan Pemuda UMNO Perak akan membuat satu laporan polis ke atas penganjur.

“Mereka perlu dikenakan hukuman yang berat di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini, penganjur sambutan di Stesen Malaysia itu tampil memohon maaf susulan penularan video perarakan sambil mengibar bendera China di tempat kejadian pada Khamis malam.

Pengerusi Persatuan Kebudayaan Guan Gong, Soon Boon Hua berkata, tindakan itu dilakukan oleh peserta rombongan dari China yang menyertai perarakan sambutan berkenaan.

Dalam pada itu, Muhammad Akmal berkata, isu yang menyentuh sensitiviti kaum berada dalam Malaysia perlu dihentikan.

“Sudah muak dan bosan. Tolonglah, sudah buat kemudian nak minta maaf cukuplah asyik kita yang perlu bersabar.

“Sudahlah tidak ada permit, kibar lagi bendera China. Bukan itu sahaja, tidak ada satu pun bendera Malaysia terkibar.

“Mereka ini perlu dikenakan tindakan undang-undang yang berat agar boleh menjaga sensitiviti antara masyarakat di Malaysia,” ulasnya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply