Pembangkang gagal bawa cadangan konstruktif bantu rakyat

Danial

SHAH ALAM – Belanjawan 2025 merupakan belanjawan kali ketiga oleh Kerajaan Perpaduan namun pihak pembangkang gagal mengemukakan sebarang belanjawan alternatif atau cadangan konstruktif sebagai pandangan berbeza bagi membantu rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Danial Al Rashid Haron berkata, sebaliknya pihak pembangkang terus menonjolkan kelemahan dalam persiapan dan kurangnya kebertanggungjawaban dalam membawa isu-isu yang bermakna untuk kepentingan rakyat.

Ujarnya, keadaan tersebut berbeza jika dibandingkan dengan prestasi Pakatan Harapan semasa berada di bangku pembangkang dahulu kerana gabungan parti itu telah membuktikan bahawa kritikan dilontarkan disertai dengan solusi yang jelas.

“Ini menunjukkan komitmen untuk menawarkan pilihan yang lebih baik bagi rakyat.

“Namun, apa yang kita lihat sekarang adalah pembangkang sibuk mempertikaikan hal-hal kecil dan remeh seperti Perdana Menteri tidak ambil gaji, serta bangkitkan istilah ‘ketimbang’.

“Ini memperlihatkan tahap mentaliti yang rendah dan menunjukkan mereka tidak bersedia untuk membawa perubahan yang benar-benar bermanfaat,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, Danial turut menegaskan bahawa Sidang Dewan Negeri Selangor yang bakal bermula pada 15 November ini adalah amat penting untuk semua ahli hadir dengan persiapan rapi, terutamanya pembangkang.

Ini kerana, ujarnya, melalui pengalaman kita dalam sidang-sidang dewan yang lalu, khususnya dalam sidang Julai 2024, isu-isu yang dibawa oleh pembangkang sering berulang, hampir sama dengan sidang November 2023.

“Pembangkang sepatutnya memperbaharui pendekatan mereka dengan lebih kreatif dan relevan, bukannya sekadar mengitar semula isu yang sama tanpa penambahbaikan.

“Jangan hanya datang dengan kritikan kosong tetapi bawa juga cadangan yang mampu memberi manfaat kepada rakyat Selangor.

“Kami berharap sidang dewan negeri kali ini dapat menjadi platform untuk semua pihak menyumbang kepada pembangunan negeri dengan tumpuan kepada dasar dan isu-isu yang lebih bermakna, bukan mengitar semula dan membawa isu remeh temeh dalam perbahasan,” tambahnya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply