Berhati-hati, semak kisah pelik dan tidak masuk akal

KISAH-KISAH yang pelik dan mencarik adat serta tidak dapat diterima akal sebaik-baiknya disemak terlebih dahulu sebelum menerimanya. Foto CANVA

PELBAGAI cerita-cerita pelik disampaikan agamawan di meja penceramah boleh menyebabkan kekeliruan kepada masyarakat Islam termasuk kisah israiliyyat.

Bagaimanapun, dengan teknologi moden kini, kita semua boleh menyemak kisah-kisah tersebut sama ada ia kisah palsu, israiliyyat, direka ataupun sebaliknya.

Mengulas mengenai perkara ini, Pengarah Urusan Faqih Group, Ustaz Dzulkhairi Mohd Noor menjelaskan, masyarakat perlu berhati-hati dengan pelbagai kisah pelik yang disampaikan oleh agamawan.

USTAZ DZULKHAIRI

“Banyak cerita dan kisah pelik termasuk israiliyyat disampaikan kepada orang awam sejak dahulu lagi dan kadangkala ia bukan daripada sumber yang sahih.

“Nasihat saya jangan terus terima semua cerita yang pelik dan tidak masuk akal ini. Gunalah akal yang sihat untuk menilai dan menyemaknya terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam Plus.

Pembahagian kisah israiliyyat

Menjawab persoalan kisah israiliyyat, beliau menjelaskan ia bermaksud cerita yang diambil daripada sumber Yahudi sama ada daripada kitab Taurat atau daripada mulut ke mulut bangsa tersebut.

Menurutnya, terdapat tiga kategori kisah israiliyyat seperti dibincangkan para ulama iaitu:

1 – Kisah yang boleh diterima

Cerita-cerita yang disampaikan adalah bertepatan dengan ajaran al-Quran dan hadis sahih.

2 – Kisah yang tidak boleh diterima

Kisah yang memburukkan para nabi, sebagai contoh fitnah terhadap Nabi Daud AS yang menyukai isteri tenteranya sendiri serta kisah-kisah yang tidak layak disandarkan kepada para rasul ALLAH yang suci dan maksum.

3 – Kisah yang tidak didustakan dan tidak juga membenarkannya

Sebagai contoh, kisah jiran Nabi Musa AS di syurga kerana menjaga ibu bapanya yang ditukarkan menjadi babi serta kisah seorang pendusta pada zaman Nabi Musa yang melakukan dosa sehingga tidak turun hujan di tempat tersebut.

KISAH israiliyyat biasanya sudah ditokok tambah dan dirujuk dari kitab orang Yahudi. Foto CANVA

“Kisah-kisah sebegini juga banyak diceritakan, termasuk juga nama wanita yang menggoda Nabi Yusuf AS dan nama ratu yang dipanggil Nabi Sulaiman AS,” ujar Ustaz Dzulkhairi.

Kisah israiliyyat masyhur

Menurut penulis buku Kisah-kisah tidak sahih di meja penceramah itu, antara cerita lain yang masyhur dalam masyarakat adalah mengenai Nabi Adam AS yang digoda Hawa ketika berada di dalam syurga.

“Kisah ini merupakan israiliyyat dan ia dipopularkan oleh penganut Kristian.

“Kita sebagai umat Islam diajar untuk merujuk kepada nas yang sahih terutamanya daripada al-Quran dan hadis sahih berkaitan ini.

“Ia ada dikisahkan ALLAH SWT dalam ayat ke-20 hingga ke-23 surah al-A’raf yang menerangkan bahawa mereka berdua dikeluarkan dari syurga disebabkan godaan syaitan selepas melanggar perintah ALLAH,” jelasnya.

Kisah Nabi Adam dan Hawa turut diceritakan dalam al-Quran dalam surah-surah lain termasuk surah Taha dan surah al-Baqarah, katanya.

RUJUKLAH kepada para ulama yang menceritakan kisah-kisah benar bersumberkan al-Quran dan hadis sahih selain menyemak melalui sumber internet yang dipercayai. Foto CANVA

Selain itu ujarnya, kisah iblis sebagai ketua malaikat serta para malaikat berpecah kepada dua golongan selepas iblis ingkar kepada ALLAH untuk sujud kepada Nabi Adam AS juga israiliyyat dan ia popular dalam kalangan penganut Kristian.

Sebelum mengakhirkan kalamnya, Ustaz Dzulkhairi turut berpesan kepada para agamawan agar berwaspada dalam menyampaikan cerita dibimbangi menyampaikan kisah israiliyyat dan kisah-kisah palsu serta rekaan kepada orang awam.

“Bertakwalah kepada ALLAH SWT kerana banyak kesan dan bahaya yang akan menimpa masyarakat sekiranya kisah-kisah pelik dan israiliyyat yang ditolak terus disampaikan kepada masyarakat,” katanya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply