Transformasi digital MAINS

TRANSFORMASI digital oleh MAINS memudahkan orang ramai membuat permohonan wasiat dan pengurusan harta melalui hibah.

TRANSFORMASI digital telah membawa perkembangan pesat dalam teknologi maklumat dan komunikasi hari ini.

Ia juga secara langsung telah memberi kesan positif kepada kehidupan masyarakat termasuk organisasi.

Selari dengan perubahan itu, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) telah mengambil inisiatif berubah kepada konsep pendigitalan dalam aspek pengurusan hartanya.

Ia dengan matlamat supaya agensi itu kekal relevan sekali gus dapat meningkatkan kepuasan pelanggan.

Konsep tersebut bukan saja lebih cepat dan mudah, malah selamat serta menepati sasaran.

Setiausaha MAINS, Ustaz Zainal Said berkata, faktor utama mereka melaksanakan konsep berkenaan kerana ia memudahkan akses maklumat, mempercepatkan proses pengurusan dan mengurangkan kesilapan manual.

USTAZ ZAINAL

Ini kerana katanya, sistem digital yang dikawal selia dengan baik boleh menawarkan perlindungan data yang lebih selamat berbanding dengan kaedah manual.

“Kalau kaedah manual ini, kebarangkalian untuk berlaku kesilapan itu ada tetapi dengan sistem digital ini membolehkan pengawasan dan penilaian harta yang lebih baik.

“Ia juga membolehkan MAINS mengambil tindakan segera sekiranya terdapat masalah atau ketidaksempurnaan dalam pengurusan,“ katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, dengan perubahan tersebut ia dapat memastikan pengurusan harta Islam lebih relevan selari dengan kemajuan teknologi hari ini.

Pada masa sama katanya, ia dapat memenuhi harapan masyarakat dalam urusan pengurusan zakat, wakaf, pengurusan harta orang Islam dan kaunseling.

“Untuk urusan zakat misalnya, ia memudahkan pengiraan, pembayaran dan pengagihan. Pembayar zakat boleh melaksanakan pembayaran secara dalam talian dan penerima zakat dapat dipantau untuk memastikan pengagihan yang adil dan berkesan.

“Orang ramai boleh layari www.zakatns2u.biz bagi urusan zakat secara dalam talian dan asnaf fakir miskin MAINS juga menikmati bantuan asas dapur secara tanpa tunai,“ katanya.

Ujarnya, inisiatif itu diguna pakai kepada panel pembekal untuk memberi kemudahan kepada asnaf mengambil barang keperluan asas tanpa tunai mengikut had bantuan yang ditetapkan dan berdasarkan bilangan jumlah keluarga.

Zainal berkata, asnaf hanya perlu menggunakan kad pengenalan ketika melakukan transaksi bagi mendapatkan barang keperluan.

“Pengurusan wakaf juga kini lebih teratur dan telus kerana semuanya direkodkan dalam talian,“ katanya.

MyWaghih

Zainal berkata, MAINS juga telah membangunkan sistem MyWaghih bagi pengurusan permohonan wasiat dengan lebih mudah dan pantas secara dalam talian.

Malah katanya, perkhidmatan kaunseling juga kini turut disediakan secara dalam talian yang mana pelanggan hanya perlu akses aplikasi digital disediakan.

APLIKASI MyWaghih memudahkan orang ramai menggunakan perkhidmatan MAINS tanpa kehadiran fizikal.

“Ia melibatkan penggunaan sistem E-Terapi Sakinah, sistem I-Cat dan sistem ujian alat piskologi digital.

“Perkhidmatan kaunseling profesional ini merangkumi kaunseling organisasi, asnaf dan komuniti yang mana ia adalah percuma,“ katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan terdapat beberapa cabaran dihadapi MAINS dalam proses mendigitalisasi pengurusan perkhidmatannya.

Zainal berkata, ia antaranya kurangnya kemahiran digital dalam kalangan pengguna terutama asnaf dan risiko serangan siber.

“Tapi kita melihat lebih banyak manfaat terutamanya dapat meningkatkan jumlah kutipan dana zakat kerana orang ramai boleh membuat bayaran secara dalam talian pada bila-bila masa saja.

“Dana wakaf misalnya menunjukkan peningkatan 20 hingga 30 peratus dan itu satu perkembangan yang sangat baik,“ katanya.

Tambahnya, ia secara tidak langsung dapat memberi galakan kepada masyarakat Islam untuk menyumbang dan dapat memberi manfaat kepada lebih ramai orang.

Dalam pada itu beliau berharap, transformasi digital tersebut akan mempertingkatkan kecekapan operasi harian MAINS, mempercepatkan proses pengurusan harta seperti zakat, wakaf dan pengurusan harta orang Islam serta meminimumkan kesilapan yang mungkin berlaku dalam sistem manual.

Katanya, insiatif itu dilihat dapat menyediakan perkhidmatan yang lebih pantas dan mudah diakses oleh orang ramai, terutama melalui platform dalam talian.

“Ini akan membolehkan lebih ramai individu menggunakan perkhidmatan MAINS dengan selesa tanpa memerlukan kehadiran fizikal.

“Dengan penggunaan sistem digital, diharapkan pengurusan harta dapat dijalankan dengan lebih telus dan terperinci, memudahkan pemantauan dan audit, sekali gus meningkatkan tahap akauntabiliti MAINS kepada masyarakat,“ katanya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply