BERBICARA mengenai kisah israiliyyat, masih ramai dalam kalangan umat Islam belum mengerti maknanya walaupun cerita mengenainya masyhur diperkatakan.
Antara kisah yang popular diceritakan di meja penceramah berkaitan israiliyyat ini termasuklah kisah nabi terdahulu, penciptaan alam, malaikat dan lain-lain lagi.
Dalam kisah para nabi, riwayat israiliyyat biasanya ditokok tambah dan kadangkala bercanggah dengan logik akal selain gemar menerangkan mengenai perkara ghaib secara berlebihan.
Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Melayu merangkap Penyelaras Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu Universiti Malaya, Dr Ahmad Zahiruddin Mohd Zabidi menjelaskan, riwayat israiliyyat merujuk kepada kisah atau riwayat yang bersumberkan daripada orang-orang Yahudi, Nasrani atau Ahli Kitab.
“Sebagai contoh yang terkini, dikatakan Keturah merupakan nenek moyang orang Melayu dan ia tidak ada dalam hadis tetapi disebut secara verbatim dalam kitab Injil.
“Sebagai orang Islam, kita tidak boleh menerima dengan mudah sumber dari luar berkaitan dengan nabi dan rasul yang merupakan ghaibiyyat (perkara ghaib) kerana kita diajar ia mestilah berdasarkan sumber yang sahih terutamanya berkaitan dengan iman,” katanya.
Beliau berkata demikian pada webinar bertajuk Di sebalik al-Israiliyyat dan al-Mawdu’at di alam Melayu anjuran Pertubuhan Multaqa’ Asatizah dan Du’at (Murshid) bersama seorang lagi ahli panel, Profesor di Jabatan al-Quran dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof Dr Faisal Ahmad Shah.
Bermula israiliyyat dalam dunia Islam
Menurut Dr Ahmad Zahiruddin, sejarah awal pengaruh israiliyyat diperkenalkan kepada dunia Islam melalui individu Yahudi yang memeluk Islam.
“Antara yang masyhur pada ketika itu termasuk Wahab bin Munabbih dan Abdulllah bin Salam.
“Mereka merupakan orang yang alim dalam Yahudi dan apabila mereka masuk Islam, mereka mendengar kisah dalam al-Quran bersama para sahabat dan mereka turut menambah dengan mengatakan ‘tradisi kami juga ada kisah sebegini’ yang mungkin sudah ditokok tambah.
“Jadi ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada para sahabat yang sedang memahami atau meriwayatkan kisah-kisah dari al-Quran,” hurainya panjang.
Itulah permulaan berlakunya penyusupan atau pengaruh riwayat israiliyyat dalam tafsir al-Quran, katanya.
“Ulama-ulama kemudiannya meriwayatkan kisah israiliyyat ini secara sekali gus dalam kitab mereka namun Imam At-Tabari menjelaskan, perlu membuat kajian terlebih dahulu sekiranya terjumpa riwayat yang pelik.
“Riwayat ini sering kali dikaitkan dengan tafsiran ayat al-Quran yang menyentuh kisah-kisah nabi-nabi terdahulu, kisah kejadian alam, kisah syurga dan neraka, Harut dan Marut, kisah Nabi Nuh dan seumpama dengannya,” jelasnya.
Israiliyyat masuk ke alam Melayu
Menjelaskan mengenai persoalan bagaimana israiliyyat masuk ke alam Melayu, beliau menjelaskan terdapat tiga cara antaranya:
1) Pengaruh pedagang dan ulama
“Sama seperti Islam datang ke alam Melayu, begitulah kisah israiliyyat ini masuk ke dalam masyarakat.
“Strategiknya mereka berdakwah ketika itu, mereka pergi ke istana dahulu kerana mereka faham struktur masyarakat Melayu. Jika mahu satu empayar Melayu masuk Islam, mesti bermula dengan raja kerana dianggap sebagai bayangan, wakil tuhan atau dewa di atas muka bumi ini,” jelasnya.
2) Kitab-kitab tafsir popular
Menurut Dr Ahmad Zahiruddin, datangnya kitab-kitab popular pada abad ke-15 dan ke-16 selepas ulama Melayu sendiri mula mengembara.
“Tafsir Ibnu Kathir dan Tafsir At-Tabari turut memasukkan riwayat israiliyyat supaya dijadikan rujukan dalam pendidikan agama,” ujarnya.
3) Penerimaan oleh ulama Melayu
Katanya, ulama-ulama Melayu menggunakan kisah israiliyyat dalam pengajaran agama walaupun tidak semua ulama bersetuju penggunaannya.
Pengaruh israiliyyat dalam masyarakat
Menurut Dr Ahmad Zahiruddin, beberapa faktor dapat dilihat pengaruh israiliyyat dalam masyarakat Melayu, antaranya:
1) Penceritaan dalam ceramah
Kisah-kisah sering disampaikan dalam ceramah agama dan apabila mereka mendengar ceramah ini, mereka mula menulisnya. Maka bercampur-aduklah kisah-kisah tersebut termasuk israiliyyat.
2) Literasi dan budaya lisan
Israiliyyat menyerap ke dalam hikayat dan sastera tradisional melayu, seperti kisah nabi dan kisah-kisah keagamaan yang disampaikan melalui lisan.
3) Persepsi masyarakat
Masyarakat Melayu menerima kisah israiliyyat sebagai sumber yang sahih tanpa membezakan antara riwayat yang sahih dengan lemah.
Ujarnya lagi, antara implikasi negatif pengaruh israiliyyat terhadap masyarakat ialah kekeliruan dalam akidah, menambahkan cerita yang tidak sahih dan memperkuatkan lagi kepercayaan khurafat.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.