Profesor Dato’ Sri Dr Mike Chan ibarat sebutir bintang yang bersinar dalam bidang perubatan sel stem dan bio-regeneratif dunia. Kredibilitinya mencipta inovasi kesihatan melalui pelbagai penyelidikan saban tahun demi kesejahteraan manusia sejagat bukan hanya diyakini ahli kesihatan global. Malah turut meraih kepercayaan individu berpengaruh dunia dan pemimpin terkenal untuk mendapatkan khidmat beliau.
Mana tidaknya, anak kelahiran Malaysia yang pernah digelar ‘Budak Kampung’ ini memiliki pengalaman luas dalam perubatan bio-regeneratif selama lebih 30 tahun. Sekaligus menjadi peneraju bidang berkenaan dan berjaya melakar revolusi kesihatan yang optimum termasuklah melibatkan rawatan anti penuaan.
Prof. Dr Mike Chan meskipun meniti usia 63 tahun namun susuk tubuh tegap dan penampilan dirinya tidak mencerminkan usia sebenar. Lebih-lebih lagi beliau sering kelihatan ceria dan bertenaga. Pastinya perubatan sel stem yang diusahakan memberi kelebihan untuk beliau tampil aktif dan memiliki stamina seperti individu berusia 40an.
Bersandarkan pengetahuan dan tahap profesionalisme serta latar belakangnya sebagai rakyat Malaysia, Prof. Dr Mike Chan diberi penghormatan membawa kemajuan perubatan sel stem ini kepada tanah air tercinta. Apatah lagi, Malaysia cukup dekat di hati sosok hebat ini dan mahu kembali berbakti kepada masyarakat menerusi syarikat European Wellness Biomedical Group (EWBG).
“Saya berharap sudah tiba masa untuk berganding bahu bersama kerajaan Malaysia terutamanya dalam sektor pendidikan kesihatan. Saya juga dilantik untuk menyediakan garis panduan berkaitan sel stem di Malaysia memandangkan saya ialah pakar dalam bidang tersebut di Asia,” dedah Prof. Dr Mike Chan.
Sepanjang 39 tahun berkecimpung sebagai penyelidik, pengasas dan saintis, Prof. Dr Mike Chan telah menulis lebih 50 buku saintifik dan memegang lebih 50 paten antarabangsa berkaitan sel stem, imunologi dan bioteknologi.
Tidak cukup itu, beliau juga menjalankan lebih 1,000 ceramah, seminar dan simposium di seluruh dunia bagi berkongsi pengetahuan mengenai perubatan regeneratif, terapi anti penuaan dan biofarmaseutikal.
EWBG yang diasaskan sejak tahun 2016 merupakan peneraju global dalam perubatan regeneratif dan penyelesaian penjagaan kesihatan bersepadu yang beroperasi di serata dunia. Penubuhan EWBG diiktiraf di peringkat global dan telah menakluk sebahagian besar negara seperti Switzerland, Jerman, Greece, Hong Kong, Thailand, Filipina dan Vietnam.
Pada Ogos lalu organisasi ini secara rasminya membuka pusat rawatan ke-46 iaitu Pusat Premier European Wellness Kota Kinabalu di Sabah yang dirasmikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Istimewanya, pusat rawatan berteknologi canggih berkeluasan 60,000 kaki persegi ini menawarkan perkhidmatan perubatan regeneratif dan terapi kesejahteraan holistik terkini selaras memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk penyelesaian penjagaan kesihatan menyeluruh.
Ini termasuk lebih daripada 60 rawatan khusus seperti terapi sel stem, exosome dan epigeneratics-based yang menjadikan European Wellness Kota Kinabalu ini pusat diagnosis kesejahteraan perubatan termaju yang lengkap serta akademi kelas dunia untuk doktor dalam bidang perubatan integratif, bio-regeneratif, pencegahan dan anti penuaan.
Kelebihan ini berupaya membuka ruang untuk mempromosikan dan menarik pelancongan kesihatan berkelas dunia ke Malaysia.
Ujar pengasas dan pengerusinya, “Kami amat gembira membawa pengalaman European Wellness ke Kota Kinabalu dan memperkenalkan pendekatan holistik kami terhadap kesejahteraan dan perubatan bio-regeneratif kepada masyarakat dunia dan tempatan.
European Wellness Kota Kinabalu juga memiliki ratusan doktor tempatan termasuk dari negara Eropah yang bertauliah yang menerima latihan di Switzerland dan Jerman.
Melihat ke hadapan, saya dan isteri iaitu Profesor Dato’ Sri Dr. Michelle Wong tetap berdedikasi untuk meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan di Sabah. Bersama-sama, kami membayangkan memupuk perkongsian yang meningkatkan landskap perubatan rantau ini dan meningkatkan status globalnya.”
Kebanyakan klien EWBG yang pernah mendapatkan khidmat Prof. Dr Mike Chan terdiri daripada golongan VVIP, pemerintah dunia, pemain bola sepak dan selebriti seperti Yolanda Hadid dan Christy Chung.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.