Zikir & Doa Yang Boleh Diamalkan Buat Yang Diuji Penyakit Yang Tak Kunjung Sembuh

Pasti ada kalangan kita yang kini sedang diuji dengan penyakit malah ada yang tidak kunjung sembuh walau sudah pelbagai rawatan dilakukan.

Dalam hal ini adakah zikir atau amalan yang boleh dilakukan buat mereka yang diuji sedemikian? Perkara ini juga antara soalan  yang diajukan oleh netizen kepada bekas Menteri agama Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.

Buat yang diduga dengan penyakit yang belum sembuh, panduan yang dikongsi oleh Dr. Zukkifli boleh dijadikan amalan.

Amalkan surah al fatihah

Zikir merupakan satu amalan yang amat dituntut di dalam Islam. Melalui zikir, seseorang itu akan berasa tenang dan terhindar daripada rasa resah dan gelisah. Allah SWT berfirman:

أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya: “Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.” Surah ar-Ra’d (28)

Antara amalan yang digalakkan adalah membaca surah al-Fatihah kerana salah satu namanya surah al-Syifa atau al-Syafiyah (penyembuh). Begitu juga dengan surah Yasin, surah al-Ikhlas, surah al-Falaq, surah al-Nas, ayat Kursi dan beberapa ayat pilihan termasuk surah pilihan.

Begitu juga dengan zikir yang diajar oleh Rasulullah SAW, daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَالَ لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ، كَانَ دَوَاءً مِنْ تِسْعَةٍ وَتِسْعِينَ دَاءً، أَيْسَرُهَا؛ الْهَمُّ

Maksudnya: Sesiapa yang mengucapkan ‘لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ’, maka ia adalah penawar daripada 99 penyakit, dan yang paling ringan adalah perasaan bimbang dan keluh kesah.

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (1990), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (5028) dan al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (178). Al-Hakim menyatakan hadith ini sahih. Manakala pengarang kitab Dha’if al-Jami’ (6286) menilai hadith ini sebagai dha’if.

Amalan zikir dan doa yang boleh diamalkan
1.Doa berlindung dari bala dan kejahatan

اللَّهُمَّ اِنِّي أَعُوْذُبِكَ مِنْ جَهْدِ البَلاَءِ، وَدَرْكِ الشَّقَاءِ، وَسُوْءِ القَضَاءِ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada bala yang sukar, kejahatan yang melampau, qadha’ yang buruk dan cacian musuh. Riwayat al-Bukhari (6347) dan Muslim (2707)

2. Doa berlindung dari hati resah dan gelisah

اللَّهُمَّ اِنِّي أَعُوْذُبِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَأَعُوْذُبِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَأَعُوْذُبِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالبُخْلِ، وَأَعُوْذُبِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ.

Maksudnya: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari keluh kesah dan dukacita, aku berlindung kepada-Mu dari kelemahan dan kemalasan, aku berlindung kepada-Mu dari rasa pengecut dan bakhil, dan aku berlindung kepada-Mu dari bebanan hutang dan penindasan.”

Riwayat al-Bukhari (6369), Abu Daud (1555), al-Tirmizi (3484), al-Nasa’ie (5449) dan al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (305)

3. Doa mohon keampunan

اللَّهمَّ إنِّي ظَلَـمْتُ نَفْسِـي ظُلْمـاً كَثـيراً وَلَا يَغْـفِرُ الذُّنـُوبَ إِلاَّ أَنْتَ، فَاغْـفِرْ لِي مَغْـفِرَةً مِنْ عِنْـدِكَ وَارْحَمْـنِي، إِنَّكَ أَنْتَ الغَـفُورُ الرَّحِـيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka, ampunilah aku dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” Riwayat al-Bukhari (7387) dan Muslim (2705)

Kami nyatakan juga beberapa ayat-ayat al-Quran berkenaan syifa, antaranya firman Allah SWT:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْاٰنِ مَا هُوَ شِفَاۤءٌ وَّرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِيْنَۙ

Maksudnya: “Dan Kami turunkan dari Al-Qur’an (sesuatu) yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman..” Surah al-Isra’ (82)

Firman Allah SWT:

وَاِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِيْنِ

Maksudnya: “Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan aku.” Surah asy-Syu’ara’ (80)

Kesimpulan

Zikir merupakan satu ibadat yang amat dituntut kerana dengannya seseorang itu akan lebih mengingati Allah SWT. Hanya dengan mengingati Allah, hati kita akan tenang. Kami juga mengesyorkan untuk perbanyakkan bersedekah kerana antara fadhilat bersedekah adalah mengangkat musibah.

Sumber: Maktabah Al Bakri


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply