Imam, Jemaah Rebah & Meninggal Di Masjid, Sudah Tiba Astizah Bincang Fiqh Kecemasan Di Masjid, Surau

Sebelum ini kita pernah beberapa kali melihat video tular imam rebah sewaktu mengimamkan solat jemaah. Ada juga individu yang rebah dan meninggal ketika solat berjemaah di masjid.

Biar pun ramai yang menganggap ia satu pengakhiran yang cukup indah, di masjid ketika solat namun mungkin sudah tiba juga masanya dibincangkan isu tatacara atau fiqh kecemasan ketika di masjid dan surau. Apa yang perlu dilakukan ketika ini, terus solat atau bantu jemaah yang nazak?

Perkara ini dikongsi Profesor Psikologi dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Dr Rafidah Hanim Mokhtar .

“Saya rasa sudah sampai masanya asatizah membincangkan Fiqh Kecemasan di masjid atau surau,” komen beliau dalam satu hantaran yang memuat naik video tular sebelum ini seorang imam di sebuah masjid di Balik Papan Indonesia yang rebah ketika mengimamkan solat.

Jelas beliau ketika seorang makmum naik menggantikan imam yang tidak sedarkan diri, makmum yang lain yang terdekat boleh mufaraqah dan habiskan solat untuk memberi bantuan kecemasan seperti CPR dan segera memanggil ambulan.

“Ironinya, jika ditempat-tempat lain, kita bersungguh-sungguh mengamalkan Maqasid Syariah iaitu menjaga nyawa. Kita akan buat CPR, cari doktor dan cari ambulan,” katanya lagi.

Terang Prof. Dr Rafidah dalam isu ini beliau mengutarakan dua perkara yang perlu difahami ramai berdasarkan perbincangan yang dibuat.

Pertama, Fiqh Al-Muwazanat : bagaimana untuk membuat pertimbangan diantara kebaikan (maslahah) dan mafsadah (keburukan).

Kedua, dari Dr Sanusi : Dalam Islam kita ada solat khauf, kaedah solat dalam perang utk mempertahankan nyawa. Kalau ikutkan lebih baik syahid ketika solat, lebih baik mati ketika solat, tetapi Allah tetap bagi kita mempertahankan nyawa sekalipun dalam solat ketika perang.

“Saya mahu surau/masjid menjadi tempat yang selamat, dan jemaah faham akan keutamaan. Wajib bagi yang hidup dan sihat ini, “resuscitate” dan memberi bantuan kecemasan,”katanya lagi.

Dalam pada itu beliau turut memberi berkongsi fakta perubatan yang perlu difahami bila mengamalkan prinsip Maqasid Syariah

Menurut AHA, setiap minit bantuan CPR lewat diberikan, peluang mangsa untuk terus hidup berkurang sebanyak 10%. Bantuan kecemasan CPR dari mereka yang terdekat boleh meningkatkan peluang mangsa untuk terus hidup bertambah dua atau tiga kali ganda.

Sumber: Prof. Dr Rafidah Hanim Mokhtar

 


Posted

in

, ,

by

Comments

Leave a Reply