Bolehkah bawa telefon mengandungi aplikasi al-Quran ke dalam tandas?

HARUS hukumnya kita membawa masuk telefon ke dalam tandas sekalipun di dalam gajet itu mengandungi aplikasi al-Quran dan seumpamanya kerana peranti itu hanyalah sebuah telefon sahaja, bukannya mashaf al-Furqan. -Foto: CANVA

RAMAI yang menyimpan aplikasi al-Quran dalam telefon pintar masing-masing kerana memudahkan kita untuk membacanya pada bila-bila masa sahaja.

Masakan tidak, teknologi sudah terbentang luas di hadapan mata, tinggal lagi bergantung kepada kita untuk memanfaatkan dengan sebaiknya.

Bagaimanapun, apabila kita masuk ke dalam tandas, bolehkah telefon yang mengandungi aplikasi al-Quran tersebut dibawa sekali?

Menjawab persoalan itu, mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Mohamad Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, harus hukumnya jika kita membawa masuk telefon ke dalam tandas sekalipun di dalam gajet itu mengandungi aplikasi al-Quran dan seumpamanya.

Ini kerana peranti itu hanyalah sebuah telefon sahaja dan bukannya mashaf al-Furqan.

WALAUPUN harus membawa masuk telefon yang mengandungi aplikasi al-Quran di dalamnya ke dalam tandas, tetapi kita dilarang sama sekali memasang bacaan ayat suci di dalam tandas. -Foto: CANVA

“Ia selari dengan kaedah fiqh yang menyatakan ‘Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman perkara tersebut’,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel #7176: Membawa telefon yang mempunyai aplikasi al-Quran dalam laman web Maktabah Albakri.

Meskipun demikian, Dr Zulkifli mengingatkan agar kita tidak memasang bacaan ayat suci al-Quran itu di dalam tandas.

“Ia demi menjaga kemuliaannya sebagai kitab suci ALLAH SWT,” tegasnya.

Mengulas tentang kelebihan membaca al-Quran, agamawan itu menjelaskan, ia merupakan amalan sangat dituntut dalam Islam.

Terlalu banyak imbalan yang bakal diraih andai kita melaziminya.

Antaranya dalam hadis Rasulullah SAW yang mana Baginda bersabda: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitabullah (al-Quran), maka baginya satu kebaikan.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

Bukan itu sahaja, tulis artikel itu, kalam ALLAH itu juga boleh memberi syafaat pada hari kiamat kelak.

Disebabkan itulah kita dituntut untuk memuliakan dan menghormati kitab suci yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, di samping menjaga adab-adab berkaitan dengannya.


Posted

in

by

Comments

Leave a Reply